7 August 2013

Seorang kakitangan kerajaan diculik kerana hutang

Diculik kerana hutang
DIBURU...dari kiri Mohd Azril Nor Azmi, 33, Kamaruzalam Mohd Nor, 48 dan Mohd Zulkifli Husain, 41

KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal menjelaskan hutang, seorang kakitangan kerajaan berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa ‘culik’ empat lelaki yang dipercayai diupah mengutip hutang berkenaan.

Kejadian berlaku di tempat letak kereta, Pejabat Daerah Besut, Besut, 30 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu disaksikan rakan sekerja mangsa, 32, sebelum menghubungi bapanya yang ketika itu berada di rumah di Kampung Paya Rawa, Tembila, Besut.

“Bapa mangsa, 56, seorang pesara kerajaan menerima panggilan telefon daripada rakan sekerja memaklumkan ternampak mangsa dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh tiga lelaki tidak dikenali.

“Mengesyaki sesuatu perkara buruk telah berlaku kepada anaknya, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, beberapa jam selepas kejadian, bapa mangsa menerima satu panggilan telefon daripada salah seorang suspek meminta dibayarkan balik jumlah hutang yang mencecah ribuan ringgit jika ingin mangsa selamat.

“Pada 31 Julai, kira-kira jam 1.30 pagi, datang seorang daripada suspek membawa bersama mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kelisa milik mangsa ke rumah, bertujuan mengambil wang dijanjikan dan sekali gus menyerahkan mangsa kepada keluarganya.

“Bagaimanapun, suspek yang berusia 41 tahun itu tidak bernasib baik selepas berjaya ditahan anggota polis yang sudah bersiap sedia memasang perangkap di rumah berkenaan,” katanya.

Siasatan awal mendapati, suspek yang baru sahaja keluar dari penjara tiga hari sebelum kejadian memiliki sembilan rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah; pecah rumah; curi motosikal dan juga individu yang dicari bagi
menyelesaikan kes jenayah dadah.

“Selain itu, kita berjaya merampas wang berjumlah RM1,000 serta mendapatkan kembali kereta milik mangsa dan yang paling penting, berjaya menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

Susulan penahanan suspek, tiga lagi suspek kini diburu dan identiti mereka sudah dikenal pasti.

“Kami berharap orang awam yang mengenali suspek ini dapat menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Ketiga-tiga suspek yang kini diburu ialah Mohd Azril Nor Azmi, 33, dari Jalan Sekeolah Kebengasaa Alor Lintah, Jerteh; Kamaruzaman Mohd Nor, 48, dari Kampung Padang Luas Dalam, Jerteh dan Mohd Zulkifli Husain, 41, dari Jalan Perwira 2, Kampung Beris Lampu, Kuala Besut.

No comments:

Post a Comment