Khabar angin yang mengatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh bakal melepaskan jawatan telah lama diperkatakan oleh peminat bola negeri Terengganu. Tetapi spekulasi berkenaan semakin hangat menjelang pemilihan kepimpinan baru persatuan kongres PBSNT pada 14 september ini.
Perkara ini telah disahkan oleh Presiden Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT) Mohamed Sekanther Abdul Hamid yang menyatakan Datuk Che Mat Jusoh secara peribadi telah melahirkan hasrat untuk mengundur diri dari persatuan berkenaan.
Usaha yang menuntut Datuk Che Mat Jusoh untuk meletak jawatan sebagai presiden oleh penyokong pasukan Penyu telah kedengaran sejak penghujung tahun 2011 ekoran perletakan mengejut jurulatih ketika itu iaitu Haji Irfan Bakti Abu Salim walaupun diakui tahun 2011 merupakan tahun yang cemerlang bagi sukan bola sepak negeri Terengganu kerana berjaya menggondol kejuaraan Piala FA dan menjadi naib juara Piala Malaysia serta naib juara Liga Super. Faktor Che Mat Jusoh seterusnya dijadikan alasan oleh kebanyakan peminat bola di atas kemerosotan prestasi pasukan pada tahun 2012 serta aksi yo yo dalam Liga Super pada awal tahun ini.
Sementara itu sumber dari media sosial mendakwa Timbalan Presiden PBSNT Sheikh Ahmad Tajuddin telah pun meletak jawatan dari jawatan itu baru-baru ini. Ia mungkin merealisakan hasrat penyokong mahu rombakkan besar-besaran dalam organisasi pada kongres kali ini sekali gus memberi nafas baru kepada pasukan Terengganu. Ketika ini beberapa nama mula disebut sebagai pengganti Che Mat Jusoh termasuk Presiden Bola Sepak Daerah Kemaman Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, YB Rozi Mamat.
Tidak kira siapa yang akan menerajui tampuk pentadbiran persatuan, bagi peminat setia bola sepak Terengganu berharap mereka dapat memberi sinar baru kepada sukan nombor satu negeri itu dan mengembalikan zaman kegemilangan serta perubahan yang lebih baik dari setiap aspek termasuk barisan kepimpinan pengurusan dan kebajikan pemain dalam melahirkan sebuah pasukan bola sepak yang mantap dan berjaya.
No comments:
Post a Comment