Buku bertemu dengan ruas, baru tahu langit tinggi ke rendah...
BACHOK - Cubaan seorang penyamun melarikan diri selepas menyamun seorang kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Jelawat semalam gagal apabila dikepung sekumpulan penduduk di Kampung Bator.
Terdahulu, suspek bersama dua rakannya menyamun kakitangan AIM yang bermotosikal dalam perjalanan pulang dari kelas berdekatan.
Selepas melarikan wang mangsa, suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga kelabu memecut laju ke arah Gunung sebelum terbabas di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dia berada di depan sekolah dan sempat melihat kereta suspek.
“Mereka pandu kereta dengan laju dan saya tengok ada plastik sampah yang tersangkut di bawah kereta.
“Mungkin kerana licin tersangkut plastik sampah, mereka tak dapat kawal kereta sebelum masuk laluan bertentangan dan terbabas ke kiri jalan dan meluncur ke dalam semak,” katanya.
Katanya, semua suspek keluar dari kereta yang terbalik dan lari merentasi kawasan semak separas pinggang kira-kira satu kilometer sebelum tiba di kawasan perkampungan penduduk.
Seorang pemuda yang turut mengepung suspek, Mohd Alif Kamarudin, 19, berkata, ketika itu dia berada di luar rumahnya sebelum seorang lelaki datang meminta air daripada bapanya.
“Ada seorang lelaki kelihatan mencurigakan tiba-tiba datang minta air. Ayah tak bagi dan dia ke rumah sebelah untuk dapatkan air.
“Seketika kemudian, beberapa penduduk lain yang mendapat maklumat mengenai suspek yang lari ke kampung kami, bergegas kejar suspek.
"Polis juga tiba dan kami sama-sama kepung suspek yang lari ke semak berdekatan. Alhamdulillah, dengan kerjasama semua, kami dapat tangkap seorang daripada suspek,” katanya.
No comments:
Post a Comment