4 May 2014

buaya tak gentarkan peserta

Kelibat buaya tak gentarkan peserta

BESUT - Walaupun kelibat seekor buaya sering dilihat muncul di permukaan air di Sungai Besut, namun ia tidak menghalang hasrat lebih 200 perakit Rela meneruskan Ekspedisi Berakit di sepanjang sungai berkenaan.

Kelibat seekor buaya dikatakan berukur lilit menyamai rim atau tayar motosikal itu sering timbul di permukaan air dekat Kampung Jawek.
Buaya tersebut didakwa timbul hampir setiap hari sejak beberapa minggu lalu, kononnya dipercayai selepas seekor daripada anaknya mati.

Pegawai Rela Daerah, Aswani Adha Ariffin yang membuat tinjauan dengan sebuah bot sehari sebelum bermulanya ekspedisi membabitkan 28 rakit pada hujung minggu lalu itu, turut terserempak dengan kelibat buaya tersebut.

Bagaimanapun katanya, buaya tersebut tidak memberi ancaman walaupun timbul kira-kira 20 meter dari bot dinaikinya.

“Berita mengenai buaya itu tidak mematahkan semangat anggota Rela termasuk lebih 20 wanita menyertai ekspedisi berakit bermula dari Bandar Jertih sehingga ke muara Kuala Besut itu,” katanya pada program itu yang dirasmikan Ketua Umno Besut, Nawi Mohamad.


Peserta nampak buaya timbul
Sementara itu, seorang daripada anggota Rela yang enggan dikenali berkata, peserta yang menaiki rakit pertama (paling hadapan) turut melihat buaya tersebut timbul di permukaan air.

Namun katanya, buaya tersebut menghilang tidak lama selepas itu dan ekspedisi berakit itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini walaupun difahamkan, peserta terpaksa melalui beberapa lubuk yang dikenal pasti sebagai sarang buaya.

Bagaimanapun, dua rakit tidak dapat menyertai ekspedisi apabila kedua-duanya bertembung pada hari perlepasan dan tersangkut pada tiang jambatan Jertih lama.


Bermalam di tebing sungai

Dalam pada itu, menurut Aswani, pada malam pertama ekspedisi, peserta bermalam di tebing sungai Kampung Amer dan dihiburkan dengan persembahan dikir barat oleh anggota Rela sendiri.

Hadir memeriahkan acara ialah Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustapa Ibrahim dan pegawai kanan Rela.

Pada hari kedua, peserta turut disertai anggota TUDM dan beberapa jabatan lain meneruskan ekspedisi terakhir sehingga ke Dataran Kuala Besut.

Pada majlis penutup di daratan itu, Mustapa memakaikan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan kepada Penjarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Terengganu, Ahmad Shahron Yassin dan Penolong Pesuruhjaya kepada Ketua Penolong
Pengarah ICU, Md Razi Md Lazim.

Turut menerima pangkat Mejar Bersekutu ialah Mohd Ghazali Omar, Mohd Sani Mohd Jahal, Zaidi Azhar Che Abas dan Zulkifli Mamat.