2 August 2013

NS pecah monopoli 'tauke ayam'







Negeri Sembilan menawarkan beberapa penyelesaian untuk memecahkan monopoli penternakan ayam dalam negara ini bagi memastikan harganya kekal stabil dan lebih realistik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau amat kecewa dengan sikap tamak syarikat penternak ayam dalam negara ini, yang mana dengan sengaja meningkatkan kos kehidupan rakyat secara melampau.

''Pada mesyuarat Exco semalam, kita telah membincangkan cara untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, terutama dalam menangani hal berkaitan memerangi kos yang telah meningkatkan kehidupan rakyat, yang mana sepatutnya tidak wajar berlaku," katanya di sini hari ini.

Tegas beliau, salah satu yang telah dikenal pasti membebankan rakyat ialah peningkatan harga ayam yang melampau serta barangan keperluan lain terutama pada musim perayaan.
''Kita mendapati apa yang berlaku itu berpunca daripada kurangnya bekalan ayam dari dua syarikat penternakan ayam terbesar negara yang sedang memonopoli pasaran itu," katanya sambil memberitahu bahawa pengambilan keuntungan melampau daripada mereka turut berlaku.

Oleh itu, kata Mohamad, kerajaan negeri mahu membetulkan corak perniagaan yang tidak sihat ini, yang mana tidak akan membenarkan kegiatan memonopoli pasaran ayam itu terus berlaku dalam kalangan dua syarikat besar tersebut yang telah mengambil keuntungan dan membebankan rakyat.

''Kerajaan negeri mahu memecahkan monopoli itu dan bersetuju untuk mengkaji secara serius berdasarkan beberapa kajian kes, memikirkan insentif membantu mana-mana syarikat yang berhasrat membuka ladang ternakan ayam moden dan tertutup di negeri ini," jelas beliau.

Mohamad memberitahu, hanya syarikat penternakan baharu yang moden serta berkemampuan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar akan dipertimbangkan untuk menyertai tawaran baharu ini.
Katanya, insentif itu termasuklah tawaran lebih murah untuk kos tapak atau secara percuma sehingga 15 tahun selepas kajian itu selesai dibuat dalam waktu terdekat.

''Ini akan mengurangkan kos produksi atau pengeluarannnya, sekali gus dapat mengurangkan harga ayam itu bagi keperluan pengguna.


''Kita juga boleh mempelawa Felda dan Lembaga Tabung Haji di negeri ini untuk menggunakan produk berkaitan minyak sawit untuk menghasilkan pemakanan bagi ayam ternakan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan import. Ini juga dapat mengurangkan harga dalam pasaran," tegasnya.

Tegas beliau lagi, semua tawaran terbaharu itu akan dikaji dengan teliti dan hanya terbuka kepada syarikat baharu dan hendaklah mengutamakan kepentingan rakyat, selain jaminan harga baik untuk mereka.


Sumber: Facebook

No comments:

Post a Comment