PETALING JAYA: Pemuda Umno membantah keputusan kerajaan untuk menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan mekanisme sedia ada dalam memastikan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik yang dikeluarkan.
"Bahkan keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam,"
Beliau mengulas mengenai mengenai perkembangan terbaru iaitu bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan di negara ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi melaksanakan tindakan itu, PTPTN akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyenaraikan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui CCRIS.
Mengulas lanjut Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pinjaman PTPTN tidak seharusnya disamakan dengan pinjaman lain yang berasaskan pilihan peribadi.
"Ini kerana pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi dan keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma mahupun ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda," katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah agensi bagi mengenal pasti masalah dan membimbing golongan ini melalui program pengurusan kredit yang membolehkan mereka membayar hutang PTPTN.
Menurutnya, agensi itu boleh berperanan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit kepada mana-mana peminjam PTPTN yang bermasalah.
"Melaluinya juga peminjam mempunyai pilihan membuat penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman mereka tertakluk syarat yang ditetapkan PTPTN.
"Selain itu saya berpandangan agar PTPTN bekerjasama dengan majikan peminjam untuk membuat potongan gaji secara bulanan atau arahan tetap (SI) bank dengan jumlah yang termampu oleh peminjam. Dengan cara ini, sudah tentu tidak akan membebankan kerana barangkali ada segelintir peminjam itu yang menghadapi masalah kewangan yang teruk," katanya.
No comments:
Post a Comment