21 August 2013

Muara Sungai Besut dipulih


Muara Kuala Besut yang akan didalamkan bagi mengatasi masalah cetek di sungai Kuala Besut. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130820/wt_01/Nelayan-lega-muara-dipulih#ixzz2cYqm4D9r  © Utusan Melayu (M) Bhd
Muara cetek dengan laluan sempit dan hadangan beting pasir merupakan fenomena alam yang berterusan menjadi masalah kepada bot nelayan dan pelancong berpangkalan di Kuala Besut sejak sekian lama.
Langkah sementara untuk mengatasinya melalui kerja mendalamkannya dengan kos yang juga besar sentiasa dibatasi kerana masalah itu akan tetap kembali beberapa tahun kemudian dan keluhan serta sungutan akan berulang didengar.
Dianggarkan lebih 300 bot nelayan beroperasi di daerah ini dan daripada jumlah itu hanya kira-kira 45 peratus menggunakan pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besut apabila banyak yang tertumpu di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Segala pergerakan bot keluar masuk akan bergantung ketibaan air pasang dan keadaan itu jelas mengganggu bot nelayan dan pelancong ke Pulau Perhentian yang merupakan salah sebuah pulau terindah di dunia.
Hampir setiap tahun terdapat bot yang karam atau tenggelam di muara Sungai Kuala Besut kerana terlanggar beting pasir atau kerana muara yang cetek.
Sehubungan itu pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada bulan lalu mengenai projek pemulihan muara Sungai Besut disambut oleh golongan nelayan dengan perasaan cukup lega dan menggembirakan mereka.
Kesediaan Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan begitu besar berjumlah RM250 juta bukan sahaja menyemarakkan perkembangan industri perikanan malah bakal menjadikan Kuala Besut sebagai nadi pelancongan.
Projek yang turut melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang satu kilometer, yang setiap satu memagari laluan masuk itu sekali gus bakal merubah wajah kawasan sekitar pesisirnya melalui limpahan pembangunan lebih pesat seperti yang dirancang.
Sewaktu mengumumkan kelulusan projek itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sebuah syarikat akan melakukan kajian awal yang memakan masa enam bulan bagi menyediakan pelan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Besut, Che Busu Ismail menganggap projek itu sebagai satu rahmat yang dinanti oleh setiap nelayan sejak puluhan tahun lalu kerana bukan mudah projek yang menelan kos begitu besar untuk diluluskan.
Sambil mengucapkan terima kasih, katanya, projek pemilihan itu pasti akan dapat membantu menambah hasil nelayan yang agak terjejas dan kebanyakan pendaratan ikan terpaksa dilakukan di Tok Bali.
“Pemborong dan peraih ikan dari Kelantan dan Pahang berasa terganggu kerana bot yang mendaratkan ikan di Kompleks Ikan LKIM di Kuala Besut terpaksa menunggu hingga air pasang untuk melalui muara.
“Lalu mereka beralih ke Tok Bali bagi mendapatkan bekalan kerana bot boleh mendaratkan ikan lebih awal disebabkan tidak berdepan dengan masalah muara cetek.
“Setakat ini hanya bot kecil boleh memasuki muara Kuala Besut sepanjang masa tetapi kebanyakannya tidak membawa sama tangkapan yang banyak sebagaimana diperlukan,” ujarnya.
Seorang nelayan, Azmi Daud, 46, berkata, sebelum ini pernah berlaku insiden mengakibatkan kematian berikutan keadaan muaranya yang cetek.
“Bot akan melekat apabila muara terlalu cetek. Kebetulan pada masa itu ombak besar, ketika itulah berlakunya kemalangan jiwa, ombak membadai bot berkenaan lalu terbaik,” ujarnya.
Bagi Ibrahim Hamat, 63, pula, langkah kerajaan melalui pelaksanaan projek kekal itu akan mengakhiri keluhan sekian lama golongan nelayan di sini.
Katanya, selain boleh keluar masuk pada bila-bila masa, nelayan tidak akan berdepan dengan risiko bot tersadai, terbalik dan rosak.
Menurut beliau, tindakan tersebut memberi impak besar bukan sahaja melancarkan aktiviti nelayan tetapi kepada sektor pelancongan negeri.
“Muara ini juga menjadi laluan bot pelancong yang hendak ke Pulau Perhentian. Kalau muara cetek kadang-kadang turut menyukarkan perjalanan bot membawa pelancong.
“Mereka terpaksa menunggu lama dan menyebabkan mereka beralih ke jeti di Kelantan. Jadi khidmat pengusaha bot di sini turut terjejas,” ujarnya.
Seorang lagi nelayan yang ditemui, Zamri Mohd. Noor, 38, berkata, dengan pelaksanaan projek tersebut nanti secara tidak langsung membuka peluang ekonomi yang lebih mantap terutama kepada kaum nelayan di daerah ini.
“Apabila muara dalam, maka bot ini tidak menghadapi masalah untuk keluar masuk, dengan itu kerja nelayan boleh berjalan lancar. Lebih banyak kegiatan boleh dilakukan di sini,” katanya.
Mat Min Awang, 52, pula memberitahu, akibat masalah kecetekan itu, kegiatan penurunan ikan di Kuala Besut turut berkurangan.
“Nelayan terpaksa turunkan ikan di pangkalan pendaratan ikan di Tok Bali sedangkan mereka berdaftar di Kuala Besut.
“Jadi apabila muara didalamkan, sudah semestinya pangkalan ini akan kembali maju dan berkembang. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan yang memberi perhatian besar terhadap pembangunan nelayan,” katanya.
-utusan-

No comments:

Post a Comment