Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penghargaan kepada portal berita pembangkang kerana “mempromosikan” kempennya pada pemilihan Umno kali ini.
Ahmad Zahid ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi berkata, portal pembangkang berkenaan turut mempopularkan beliau dengan laporan mereka.
“Saya ucapkan terima kasih pada portal berita dan majalah dan bahan di bidang sosial pro pembangkang kerana mereka turut membantu mempopularkan saya.
“Saya harap mereka jangan menyesal beri liputan tidak baik pada saya,” katanya, yang tidak menamakan portal berkenaan.
Keputusan penuh yang diumumkan malam tadi bagi jawatan Naib Presiden menyaksikan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendahului dalam pertandingan enam penjuru apabila memperolehi 185 undi daripada peringkat Umno Bahagian.
“Proses transformasi boleh dilakukan bukan hanya kerana muka baru dan orang muda tetapi yang penting bagaimana cara yang relevan dan memudakan Umno dijalankan.
“Saya rasa agenda bagi mentransformasi dan meremajakan Umno akan dilakukan bagi membantu presiden dan timbalan presiden supaya agenda yang dilakukan akan dapat memperkukuh lagi Umno sebagai tulang belakang Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita.
Keputusan penuh yang diumumkan sekitar jam 1.40 pagi tadi turut menyaksikan Datuk Seri Shafie Apdal menduduki tangga kedua dengan 174 undi, diikuti Datuk Seri Hishamuddin Hussein dengan 100 undi sekaligus menyaksikan ketiga-tiga penyandang kerusi berkenaan kekal.
Meskipun pencabar, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat memberikan saingan sengit kepada Hishamuddin, anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bagaimanapun gagal meletakkan dirinya dalam kelompok tiga teratas apabila sekadar memperolehi 91 undi.
Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad sekadar berpuas hati dengan masing-masing berkongsi tujuh undi.
No comments:
Post a Comment