21 October 2013

Lelaki mengamuk isteri minta cerai

Macam-macam berlaku di China. Terbaru, Gara-gara bergaduh kerana mahu bercerai, seorang lelaki membunuh isterinya yang sedang hamil dan enam anggota keluarganya awal minggu ini. 

Polis memberi penjelasan mengenai kejadian yang berlaku di wilayah barat laut China, Rantau Autonomi Ningxia Hui. 


Pembunuhan itu berlaku pada Isnin minggu lalu dengan suspek utama dikenali sebagai Ma Yongdong, kata sumber biro keselamatan awam kepada media. 


Ma ditahan pada malam Jumaat lalu di kota Wuzhong sebelum dihantar ke daerah Pengyang, lokasi kejadian petang keesokannya. 


Suspek mengaku 

Ma mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan mereka termasuk isteri dan dua anak saudaranya yang masih kanak-kanak, kata polis. 
Mangsa selain isteri Ma termasuk ibu dan bapa mentuanya, datuk dan nenek serta dua kanak-kanak berusia tiga dan setahun. 

Kejadian berlaku di kediaman mereka di perkampungan Wengou, Pengyang, pada malam 14 Oktober lalu selepas Ma bergaduh dengan isterinya. 

Penduduk kampung memberitahu pihak berkuasa, Ma diketahui sering bergaduh dengan isterinya, Lan Xiuying selama beberapa hari sebelumnya lagi selepas mangsa menuntut cerai daripadanya. 

Pada masa sama, Ma juga diketahui tidak mempunyai hubungan baik dengan ibu dan bapa mentuanya. 

Sanak saudara Lan dilaporkan memberitahu agensi berita Xinhua bahawa Ma mengugut Lan dan dipetik sebagai berkata: “Jika kamu terus mendesak untuk bercerai, saya akan bunuh keluarga kamu.” 

Ma, 24, mempunyai pendidikan sehingga peringkat menengah. Dia dan Lan berkahwin empat tahun lalu. 

Mereka sering terbabit dalam pergaduhan kerana Ma juga ketagih berjudi hingga hilang kerja di sebuah syarikat perlombongan tempatan, kata sanak saudara Lan. 

Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan kes berkenaan.


 - AGENSI-

No comments:

Post a Comment