3 October 2013

Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 Diluluskan

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (PCA) 2013 walaupun ahli Parlimen pembangkang berusaha untuk menggagalkan kelulusan rang undang itu di Parlimen.
Usaha untuk menyekat pindaan rang undang-undang itu daripada dibentangkan ke peringkat akhir perbahasan gagal apabila ia diluluskan dengan suara majoriti susulan tercetusnya perbahasan hangat oleh sembilan ahli Parlimen ketika bacaan kali kedua.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memerintahkan undian dijalankan selepas Azmin Ali (PKR-Gombak) mendesak supaya ia dilakukan.
115 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali ketiga manakala 66 Ahli Parlimen pembangkang lagi membantahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengambil bahagian dalam undian itu.
Pada tengah malam Rabu, jam di dalam Dewan dihentikan bagi membolehkan perbahasan diteruskan pada hari yang sama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim membentangkan usul bagi menghentikan jam di dalam Dewan kerana masa terhad untuk menyelesaikan perbahasan berhubung rang undang-undang itu pada Rabu.
Rang Undang-Undang itu akhirnya diluluskan pada pukul 12.50 pagi Khamis.
Terdahulu, ketika mengulung perbahasan di peringkat dasar, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan yang menyatakan kerajaan tidak berbincang dengan Pejabat Peguam Negara dalam menghasilkan rang undang-undang itu.
"Adalah salah untuk mengatakan Peguam Negara tidak dirujuk memandangkan kita juga mengadakan pelbagai forum untuk mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pandangan dipertimbangkan oleh kementerian," katanya.
Beliau turut menegaskan rang undang-undang itu tidak akan digunakan ke atas mana-mana individu yang mempunyai ideologi politik yang berbeza.
"Perdana Menteri telah mengarahkan Peguam Negara menyebut perkara ini kerana kerajaan tidak mahu diimplikasikan berlaku salah guna kuasa menteri.
"Rang undang-undang ini juga lebih baik daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana kuasa menteri disekat di bawah akta baru ini," katanya.

No comments:

Post a Comment