8 October 2013

Cari kaedah elak tragedi Lata Tembakah berulang

Kerajaan negeri memandang serius kejadian mati lemas membabitkan pengunjung Hutan Lipur Lata Tembakah dan akan berusaha mencari kaedah terbaik bagi membendung kejadian itu daripada berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Mutimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti tindakan serta langkah terbaik yang perlu diambil.

Beliau berkata, hasil perbincangan dan laporan termasuk pihak yang menguruskan kawasan hutan lipur itu akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat demi keselamatan dan kepentingan semua pihak.

"Oleh kerana hari Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu yang seringkali menjadi pilihan dan tumpuan pengunjung ke lokasi itu, kita perlu mencari kaedah sesuai bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri diminta mengulas kejadian lemas yang melibatkan tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di hutan lipur itu semalam.

Dalam kejadian itu, B. Vikneswaran, Janarthen Umabaithy dan Mohana Raja Madhandra yang kesemuanya berusia 21 tahun mati lemas ketika mandi bersama 15 rakan mereka yang menghabiskan cuti hujung minggu.

Mohd. Jidin berkata, untuk menempatkan pengawal bagi mengawasi kawasan itu pada cuti hujung minggu adalah tidak memadai memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan ramai pengunjung.

"Apa yang penting pengunjung mengambil sikap berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk mandi atau menjalankan aktiviti masing-masing kerana kawasan itu sering terdedah kepada fenomena kepala air.

"Jika hujan, pengunjung perlu lebih peka kerana pada bila-bila masa boleh berlaku kejadian paras air yang meningkat dengan mendadak selain membawa arus deras yang boleh membahayakan pengunjung," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, ketiga-tiga mayat mangsa lemas itu dituntut keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke negeri asal mereka di Perak, Kedah dan Negeri Sembilan awal pagi ini.

BPO: Wujudkan pengawal (life guard) bagi menjaga pengujung yang masuk ke kawasan larangan.

Article Penuh 
 

No comments:

Post a Comment