23 October 2013

Penamaan Calon pilihanraya N20 Sungai Limau Hari ini

Penamaan calon bagi pilihan raya N20 Sungai Limau akan berlangsung di Dewan Datuk Madi Yan, Kedah pagi ini.

Pencalonan akan bermula jam 9.00 pagi dan penyokong BN serta Pakatan Rakyat dijangka mula berkumpul di pusat penamaan calon seawal jam 8.00 pagi.
Pemimpin tertinggi Pakatan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN itu Datuk Mahfuz Omar kelihatan turut bersama dengan calon PAS.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, pekan Sungai Limau akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 tahun menentang calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun.

Sohaimi dilihat mempunyai profil yang lebih menonjol sebagai bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Azam pula seorang penolong kanan ko-kurikulum di sebuah sekolah agama di Kedah.


Kempen PRK ini akan berlangsung selama 12 hari dan hari mengundi jatuh pada 4 November depan.

Kerusi Sungai Limau terletak dalam Parlimen Jerai kosong berikutan kematian anggota ADUN negeri merangkap bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Azizan menewaskan Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Azizan menang dengan 13,294 undi berbanding 10,520 yang dimenangi BN - dan calon-calon bebas memperolehi 100 dan 84 undi.

No comments:

Post a Comment