24 October 2013

Pegawai Bank Maut Ditembak Pengawal Keselamatan


Suspek dirakam kamera litar tertutup selepas dipercayai menembak Norazita Abu Talib di AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selangor, semalam. 
Seorang pegawai bank mati di tempat kejadian setelah ditembak oleh seorang pengawal keselamatan yang berkerja di bank yang sama tempat beliau berkerja, di Subang Jaya.

Mangsa, Norazita Abu Talib, dikatakan telah ditembak di kepala semasa membuka pintu bilik kebal oleh pengawal keselamatan yang bersenjata.


Suami mangsa.
Pengawal keselamatan terbabit yang turut bersama dengannya ketika membuka peti besi di bank itu berjaya meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai.

Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita, 37, bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus pintunya dibuka.

Tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun itu tepat mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek dikenali sebagai Ardi Hamza dan berasal dari Sabah itu kemudian mengambil sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam sebuah beg berwarna hitam yang dibawanya

"Dia kemudian keluar menerusi pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu, polis kini memburu suspek yang dianggap kejam dan berbahaya itu kerana turut melarikan senjata api berkenaan.

"Kita telah mengenal pasti identiti suspek tetapi apabila diperiksa kad pengenalannya, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menyiasat sekiranya suspek berkemungkinan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Sebenarnya suspek berkhidmat di Bank Muamalat yang terletak bersebelahan AmBank dan merupakan pengawal gantian di bank itu semalam.

"Kami telah mendapatkan maklumat dari syarikat keselamatan dan mereka memberitahu, suspek telah bekerja sebagai pengawal selama setahun dan telah bertugas di pelbagai bank," katanya.

Sementara itu, mangsa difahamkan telah 16 tahun bekerja di bank berkenaan dan mempunyai sepasang cahaya mata.

Suami kepada pegawai operasi bank, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan difahamkan baru beberapa minit menghubungi mangsa sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Difahamkan suami mangsa yang dikenali sebagai Wan itu menghubungi isterinya itu ketika hujan lebat pukul 6 petang.

Anak saudara mangsa, Mohd. Fakri Azad M. Azhar Syawal, 22, berkata, bapa saudaranya itu menghubungi telefon bimbit mangsa supaya isterinya berhati-hati memandu dalam hujan lebat.

"Ketika panggilan pertama Pakcik Wan sempat bercakap dengannya dan mengingatkannya supaya berhati-hati kerana hujan amat lebat petang tadi dan makcik saya ini pula seorang yang rabun.

"Selepas itu, Pakcik Wan menghubungi makcik saya sekali lagi namun panggilan tidak berangkat. Kemudian saya diberitahu pihak bank menghubungi pakcik saya selepas itu lalu menyuruh dia ke premis itu dengan segera.

"Mereka tidak memberitahu perkara sebenar dan hanya menyuruh pakcik saya datang dan melihat sendiri keadaan makcik saya," katanya.

Mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun.

No comments:

Post a Comment