2 December 2013

Penganggur bakal digantung


Besut - Seorang pemuda bakal berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah, selepas dia diberkas di Kampung Pengkalan Teras dekat Kampung Keluang, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.45 malam itu, suspek berusia 23 tahun ditahan di sebuah rumah dalam serbuan Ops Cantas Khas Narkotik dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui satu lipatan kertas surat khabar di satu sudut sebuah bilik.

"Kita dapati terdapat lapan botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin. Suspek yang merupakan penganggur dipercayai mengedar dadah di kampung tersebut dan sekitar daerah ini.

"Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Kamaruddin berkata, tangkapan itu adalah terbesar sejak Ops Cantas Khas Narkotik dilaksanakan 11 November lalu dan polis akan terus menggempur kegiatan dadah di daerah ini.

No comments:

Post a Comment