Ipoh: Tergamak seorang ibu meninggalkan bayi perempuannya yang masih bertali pusat dalam keadaan bogel di Jalan Lapangan Perdana 9, Taman Lapangan Setia, di sini, pagi semalam.
Bayi terbabit yang dipercayai baru dilahirkan ditemui pekerja binaan, Chong Lean Fatt, 48, jam 11 pagi ketika melalui jalan itu bersama dua rakan.
Lean Fatt berkata, bayi itu ditinggalkan di situ dalam keadaan tertiarap dengan badannya berada di atas jalan tar manakala mukanya di atas besi penutup longkang.
Sangka sudah mati
Mulanya kami menyangka bayi itu sudah mati kerana tidak bergerak dan senyap tetapi tidak lama kemudian terdengar tangisannya menyebabkan kami terus mencari kain bagi membalut tubuhnya itu.
Saya percaya bayi itu sudah lama menangis kerana ada mendengar suara seperti tangisan jam 10.30 pagi tetapi menyangka ia salakan anjing atau bunyi kucing.
Saya tidak sedap hati dan terus memeriksa dan mendapati ia bayi perempuan, katanya ketika ditemui.
Beliau kemudian menghubungi polis dan pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama dua rakan berkenaan untuk memberi keterangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Tarmizi Abdul Haq, ketika mengesahkan kejadian itu berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
Bayi perempuan yang tidak dapat dipastikan keturunan dan kaumnya itu, ditemui masih bertali pusat dan cukup sifat serta dipercayai baru dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang di belakang kawasan rumah kedai terbabit.
Tiada kecederaan pada bayi itu dan polis masih menyiasat berhubung kejadian bagi mengesan individu tidak bertanggungjawab membuang bayi berkenaan, katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment