1 December 2013

Ombak kuat resahkan penduduk!!


Ombak kuat resahkan penduduk

KUALA BESUT - Sebanyak 46 keluarga yang tinggal di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pangkalan Atap, di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan ombak besar dan angin kuat melanda sejak malam kelmarin.

Seorang penduduk, Jusoh Mat Ismail, 73, berkata, dia dan penduduk lain resah dengan kemungkinan berlakunya angin lebih kuat dan ombak lebih besar, sekali gus menyebabkan kawasan perumahan itu dilanda banjir.

Bagaimanapun katanya, mereka bernasib baik kerana pembinaan benteng batu pemecah ombak sepanjang kawasan perumahan itu berjaya mengelak ombak menghempas dinding rumah penduduk yang berada paling hampir dengan pantai.

“Tapi kalau hujan lebat dan berterusan di sebelah Hulu Besut, manakala air laut dijangka pasang bermula semalam, kami bimbang ombak akan lebih mengganas seterusnya melepasi tembok tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Jusoh berkata, dia membuat persiapan untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya ombak melepasi batu tersebut, malah boleh dikatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk di situ berpindah setiap musim tengkujuh.

“Masalah ini bagaimanapun akan selesai selepas kami semua berpindah ke rumah pangsa diberikan kerajaan negeri di Kampung Lay Out Tok Saboh, kira-kira empat kilometer dari sini,” katanya.

Selepas mendengar keluh-kesah penduduk di sini, Sinar Harian meninjau perjalanan projek pembinaan Pangsapuri Mampu Milik 4 Tingkat di Lay Out Tok Saboh seperti dijanjikan kerajaan negeri untuk dijadikan penempatan baharu penduduk PPRT Pangkalan Atap.

Turut sama, Pengerusi JKKK Pangkalan Atap, Mohd Aziz Mahmud dan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Siap sedia untuk pindah

Sementara itu, Mohd Aziz berkata, penduduk diminta bersiap sedia termasuk untuk dipindahkan pada bila-bila masa sekiranya berlakunya ombak lebih besar dan kawasan rumah dilimpahi air.

Menurutnya, agensi kerajaan seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKKK serta agensi lain sentiasa membuat pemantauan terutama di Kampung Pangkalan Atap.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan turut mendengar taklimat ringkas disampaikan penyelia projek dan berharap kontraktor dapat menambah bilangan pekerja agar projek boleh disiapkan mengikut jadual ditetapkan pada April 2015 atau lebih awal daripada itu.

Dalam perbincangan tersebut, penyelia berkenaan memaklumkan, majikannya kini dalam usaha menambah pekerja bagi memastikan kerja bermula sejak April lalu itu, berjalan lancar.

“Rumah tersebut akan diberi secara percuma kepada 46 keluarga dari perumahan Pangkalan Atap, manakala selebihnya pula dijual kepada pemohon berkelayakan.

"Saya amat berharap projek ini akan berjalan lancar agar penduduk Pangkalan Atap tidak perlu lagi berdepan kesulitan setiap kali musim tengkujuh,” katanya.

Hasil tinjauan juga mendapati, kerja pembinaan dilaksanakan kontraktor dilantik untuk membina 72 rumah bernilai RM10.35 juta.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment