24 December 2013

Kedai Emas di Jertih Kena Rompak

Perompak tebuk dinding



JERTIH – Sekumpulan penjenayah berjaya melarikan sejumlah barang kemas bernilai RM500,000 selepas menebuk dinding sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek di sini, awal pagi semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin hingga 2 pagi semalam ketika kedai emas tersebut tidak beroperasi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian itu disedari pemilik kedai emas terbabit kira-kira jam 9.10 pagi selepas menerima panggilan daripada pemilik kedai plastik memaklumkan dinding kedainya yang terletak bersebelahan kedai emas telah berlubang dan terdapat kesan tebuk.

Menurutnya, mangsa mendapati peti besi tempat menyimpan barang kemas telah ditebuk sebaik tiba di kedainya kira-kira jam 9.20 pagi.

“Pelbagai barang kemas yang disimpan di dalam peti besi telah hilang yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM500,000 dan wang tunai RM3,000,” katanya.

Beliau berkata, kejadian tersebut dipercayai dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek yang bertindak terlebih dahulu memecah masuk melalui sisip angin tandas bahagian belakang kedai plastik tersebut.

Kata Kamaruddin, suspek kemudian bertindak menebuk dinding dari dalam kedai plastik itu yang terletak bersebelahan kedai emas tersebut sebelum bertindak memecah peti besi dan melarikan barang kemas di kedai mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mangsa, Rahimah Mohamed Nor, 50, berkata, ketika berada di kedainya kira-kira jam 3 petang kelmarin, dia telah didatangi dua lelaki berkulit cerah untuk menjual sebentuk cincin berlambang naga.

Bagaimanapun dia tidak membelinya setelah mengesyaki sesuatu apabila mendapati kedua mereka tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

“Kemudian saya lihat dua lelaki itu pergi ke kedai barangan plastik bersebelahan,” katanya.

Menurutnya, selain barang kemas yang disimpan untuk dijual, dia turut kehilangan barang kemas yang ditempah oleh pelanggan selain wang tunai.

Difahamkan suspek sebelum itu telah mendaftar menginap di hotel berdekatan kira-kira jam 1 petang kelmarin sebelum pergi ke kedai emas itu kononnya untuk menjual cincin dan suspek mendaftar keluar pada jam 2 pagi semalam.


SUMBER

No comments:

Post a Comment