22 December 2013

'Kamal Body' tumpas



'Kamal Body’ diberkas


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya memberkas ‘Kamal Body’ iaitu suspek utama paling dikehendaki dipercayai terlibat dalam jenayah melarikan orang, dalam satu serbuan di sebuah chalet di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, malam kelmarin.

Susulan penangkapan suspek berusia 41 tahun yang diburu sejak Julai lalu itu, polis juga turut berjaya menumpaskan sindiket wang palsu.

Sindiket tersebut didalangi suspek bersama tiga lagi rakannya, masing-masing berusia antara 19 hingga 45 tahun, dengan rampasan wang palsu berjumlah RM81,000 yang dipercayai untuk digunakan dalam urus niaga dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, serbuan itu dibuat kira-kira jam 8 malam, selepas pihaknya menerima maklumat awal berhubung kewujudan suspek utama yang ketika itu difahamkan sudah menginap di chalet berkenaan, sejak empat hari lalu.

“Dalam serbuan itu, selain berjaya menemui wang palsu tersebut, kami turut merampas komputer riba dan beberapa buah mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk mencetak wang palsu berkenaan.

“Turut dijumpai bersama mereka, dua bilah keris dan sepucuk pistol tiruan serta satu dadah mampat dipercayai jenis ganja seberat kira-kira tiga kilogram (kg),” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, semalam.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek turut terlibat dalam jenayah pengedaran dadah paling aktif dan wang palsu yang dicetak itu dipercayai digunakan untuk urusan jual beli dadah.

“Bagaimanapun kami yakin, wang palsu berkenaan turut digunakan dalam urus niaga menipu orang awam kerana hasil siasatan mendapati, terdapat empat rekod laporan berhubung penerimaan wang palsu dilaporkan orang
awam di daerah Besut sejak belakangan ini.

“Jadi, di sini, orang awam yang mempunyai wang palsu atau pernah menerima wang palsu diminta tampil ke balai polis berhampiran memberi kerjasama bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Jelas Manoharan, keempat-empat suspek kini direman untuk disiasat di bawah kesalahan kerana memiliki wang palsu; memiliki pistol mainan iaitu di bawah Akta Senjata Api dan memiliki dua bilah keris iaitu di bawah Akta Senjata
Berbahaya.


SUMBER

No comments:

Post a Comment