23 December 2013

Dr Juanda: Melayu pecah kerana 'gila kuasa'







KOTA BHARU - Masyarakat Melayu perlu bersatu dalam apa jua keadaan yang mencabar, sebagaimana disaksikan sekarang tetapi sama sekali tidak boleh terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menjadikannya sebagai agenda politik.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, bersatu mesti diusahakan tetapi bebas daripada pengaruh politik kerana parti-parti politik mungkin menggunakan usaha itu untuk kepentingan masing-masing.
Katanya, perpecahan berlaku di mana-mana sahaja kerana ada kezaliman dari satu pihak yang mempunyai kuasa.
"Satu negeri tak diberi royalti, mesti ada pihak yang marah dan ini realitinya, zalim kepada saudara sendiri, puncanya ialah gila kuasa.
"Jangan terpengaruh dengan politik kerana kita semua tahu hala tuju apatah lagi kita ini orang Islam yang mempunyai ajaran yang jelas," kata beliau yang menjadi ahli panel Wacana D'Raja di Kelantan Trade Centre di sini malam tadi.
Wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu diadakan sempena Karnival Walk With Me yang berakhir hari ini.
Wacana dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia, Datuk A.Aziz Deraman.
Dua ahli panel yang lain ialah Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Johari Mat dan Pengasas dan Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu.
Wacana kali ini membicarakan tajuk "Bersatu Demi Islam".
Dr Johari pula menegaskan bahawa umat Islam sememangnya boleh bersatu sekiranya meletakkan Islam sebagai asas dan perpecahan berlaku apabila masyarakat Islam meninggalkan ajaran Islam itu sendiri.
"Semua manusia mempunyai destinasi sama iaitu alam akhirat, jadi ia tidak ada sebab untuk umat Islam berpecah, sejarah membuktikan manusia menjadi lemah kerana tidak berpegang kepada agama," katanya.
Katanya, generasi yang benar-benar memahami Islam sukar dibentuk kerana sistem pendidikan lebih memberi keutamaan kepada fardhu kifayah berbanding fardhu ain sehingga pelajaran agama bukan menjadi syarat lulus dalam peperiksaan.
"Apabila Islam tidak diikuti dengan betul, maka berleluasalah gejala social, ditambah pula penguatkuasaan yang lemah," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, Melayu diajak bersatu apabila ada desakan dan cabaran dari luar.
"Orang Melayu diajak bersatu bila negara dijajah dan kempen perpaduan juga muncul ketika perayaan tertentu seperti Maal Hijrah dan Maulidur Rasul sedangkan semangat perpaduan sepatutnya sedia tertanam dalam jiwa.
"Kita lebih memberi tumpuan kepada perpaduan nasional berbanding perpaduan Islam sehingga membantutkan usaha ini sehingga kini. Susah sampai masanya idea perpaduan lahir dari sanubari umat Islam itu sendiri," katanya.
Sumber

No comments:

Post a Comment