26 July 2013

Cerita Ramadhan: Terawih Terakhir

Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih hiba buat seorang isteri apabila kehilangan suami tersayang selepas pasangan itu terbabit dalam kemalangan ngeri dekat sini pagi semalam.

Mangsa, Esah Abdullah, 63, terselamat sebaik berjaya dikeluarkan daripada keretanya yang ‘penyek’ selepas kenderaan dinaiki bersama suaminya, Mohamed Hassan, 68, berlanggar dengan sebuah lori pasir di Kilometer 15.5 Jalan Paka Al Muktfibillah Shah, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, pasangan peneroka Felda itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Al Mukhtafi Billah Shah menuju ke Ketengah Jaya.

Sampai di lokasi, kereta Proton Saga dipandu Mohamed dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah Paka.

Akibatnya, kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala tayar hadapan lori terbabit difahamkan tercabut akibat rempuhan yang kuat dari arah bertentangan itu.

Mohamed yang berjaya dikeluarkan orang awam selepas tersepit di tempat duduk pemandu bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah di paha dan anggota badan lain.

Menurut anak lelaki arwah, Adnan Mohamed, 30, yang ditemui ketika menuntut mayat mangsa berkata, ketika kejadian, ibu bapanya dipercayai dalam perjalanan dari ladang sawitnya di Sungai Apu ke satu lagi ladang milik mereka di Felda Ketengah Jaya.

Adnan berkata, dia mendapat tahu berita menimpa ibu dan bapanya itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakaknya yang tinggal di Kemaman.

Katanya, sebaik mendapat berita buruk itu, dia bergegas ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk melihat keadaan ibunya, Esah yang hanya cedera ringan.

Namun sebaik sampai di situ dia dimaklumkan bapanya dikejarkan ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan teruk.

“Selepas menjenguk ibu, saya terus bergegas ke Hospital Dungun untuk mengetahui nasib ayah.
"Namun sebelum sampai di hospital, saya dimaklumkan ayah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Mengimbas kembali kenangan bersama arwah, Adnan berkata, pada malam sebelum kejadian, sebaik selesai solat terawih, dia sempat bertemu arwah bapanya itu di rumahnya di Felda Kerteh Enam.
Kata Adnan, pada malam itu, arwah bapanya kelihatan ceria, cuma arwah dikatakan ada meluahkan hasratnya untuk melakukan ibadah korban pada hari raya haji nanti.

“Semalam adalah solat terawih terakhir baginya.

"Saya tak sangka dia akan pergi buat selama-lamanya hari ini sebab tiada sebarang perubahan ditunjukkan ketika kami bersama di rumah,” katanya.

Bagaimanapun Esah yang ditemui di Hospital Dungun tidak dapat menceritakan apa-apa berkaitan kejadian tersebut kerana masih trauma dengan tragedi itu.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Felda Kerteh Enam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment