Gambar Hiasan
BESUT - Dua pencuri kabel cedera ketika cuba melepaskan diri sebelum berjaya ditangkap orang ramai dalam dua kes berasingan, di Taman Ilmu, Tembila dan di Kampung Beris Pak Abu, Kuala Besut, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 5 petang di Tembila, seorang lelaki berusia lewat 20an berjaya ditangkap penduduk kampung ketika mencuri kabel elektrik di tapak pembinaan Taman Ilmu.
Menurutnya, suspek pertama yang beralamat di Kampung Guntung, Tembila dikesan cuba mencuri kabel oleh pengawal keselamatan yang membuat rondaan di tapak pembinaan itu.
“Suspek cuba melarikan diri apabila menyedari perbuatannya dilihat pengawal namun, berjaya ditangkap orang ramai selepas dibelasah kerana melawan dan diserahkan kepada polis.
“Pihak polis telah hantar suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas sepotong kabel elektrik sepanjang kira-kira empat meter yang dipercayai telah dipotong suspek untuk dicuri.
“Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencuri kabel tersebut kerana bekalan elektrik masih belum berfungsi,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Nangka, Kuala Besut cedera ringan setelah dibelasah orang ramai kerana disyaki mencuri kabel di Stesen Pemancar telefon mudah alih Gong Kedak dekat Beris Pak Abu.
Kejadian itu telah dikesan terlebih dahulu oleh juruteknik syarikat telekomunikasi itu sebelum menghubungi penduduk kampung agar menyiasat punca sebenar stesen tersebut tidak berfungsi pada jam 9.50 malam.
Katanya, pada jam 10.10 malam, penduduk kampung berjaya menahan suspek ketika berada di dalam kabin stesen tersebut, dipercayai sedang mencuri kabel di situ sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Suspek cedera di badan kerana dipukul orang ramai ketika usaha memberkasnya dilakukan, manakala kerugian yang dilaporkan dianggarkan RM3,000,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment