7 January 2014

Kehebatan Nasi Bungkus Orang Kelate: Masak di Kelate Jual di KL


naik pesawat
PASIR PUTEH – Tidak terfikir bagaimana warga ibu kota Kuala Lumpur yang ‘dihidangkan’ dengan aneka pilihan sarapan pagi masih memilih nasi bungkus daripada Kelantan setiap hari.
Sebanyak 2,000 nasi bungkus dari Kampung Banggol Pak Esah dekat sini, diterbangkan dengan pesawat kargo Malaysia Airline Sistem (Mas) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap pagi bagi membolehkan pelanggan tetap di sana menikmatinya setiap pagi.
Nasi kerabu, nasi lemak, nasi berlauk dan nasi dagang resipi tradisi Mohamad @ Mohd Nor Zakaria, 68, (Pok Nor) dibungkus seawal jam 11 malam bagi membolehkan ianya tidak terlepas dari jadual penerbangan awal di Pengkalan Chepa.
Pengurus Nasi Bungkus Pok Nor, Azrin Mohamad, 34, bersama adiknya, Abdul Ghafar Mohamad, 30, mendapat idea meluaskan pasaran selepas mendapati produk itu mendapat sambutan luar biasa.
“Selepas berjaya memasarkan 1,500 nasi bungkus ke seluruh Kelantan, kami berjaya membawa produk ini lebih jauh tapi masih berbaloi walaupun menampung kos penghantaran tinggi.
“Di Kuala Lumpur, nasi bungkus ini diambil agen untuk dihantar kepada penjual di sekitar Putrajaya, Puchong dan Shah Alam yang menjualnya pada harga RM4 sebungkus. Nasi untuk pasaran tempatan mulai dibungkus jam 3 pagi dan dijual pada harga RM2.50 sebungkus,” katanya.
Beliau berkata, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan itu memberi peluang pekerjaan kepada 36 wanita yang kebanyakannya ibu tunggal dan dibahagikan kepada dua syif, 22 orang untuk pembungkusan bagi pasaran Kuala Lumpur dan selebihnya untuk pembungkusan bagi pasaran tempatan.
Nasi Bungkus Pok Nor katanya, akan dikembangkan kerana beliau kini merancang membuka kilang di kampung itu dan membuka kedai kopi sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
“Dalam masa sama, kami melancarkan grup Facebook Nasi Bungkus Pok Nor bagi mempromosikan produk selain menerima pendapat pelanggan bagi meningkatkan kualiti serta melicinkan urusan pemasaran.
“Sekiranya usaha ini terus berkembang maju, ia sudah tentu memberi manfaat secara berterusan kepada ibu tunggal dan agen-agen kami di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.
SUMBER- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment