5 January 2014

Mohon segera BR1M

Kira-kira 2.4 juta yang layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi belum mengemukakan permohonan diminta segera berbuat demikian bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan berkenaan. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata mereka perlu mendaftar segera bukan saja untuk mendapatkan bantuan itu, tetapi menerima skim perlindungan insurans takaful menerusi i-BR1M. 


Berikutan itu, ketua kampung di seluruh negara diminta membantu kerajaan mengenal pasti golongan sasar yang layak mendapat BR1M. 

Semua 13,127 ketua kampung dari kira-kira 22,000 kampung diminta memainkan peranan membantu kerajaan mengesan mereka. 

Bantuan daripada ketua kampung sangat penting kerana mereka adalah duta kecil di kawasan masing-masing, selain mengenali kumpulan yang layak dan memerlukan bantuan khas yang disediakan oleh kerajaan, katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian di sini, semalam. 

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ketua Kampung Pontian, Abdul Wahid Mohd Tamim. 

Buka akaun bank 


Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, selain itu ketua kampung digesa membantu penduduk kampung terutama penerima BR1M untuk membuka akaun bank. 

Katanya, mulai tahun ini, kerajaan menyalurkan wang BR1M terus dalam akaun bank penerima. 

Inisiatif bagi memberi kemudahan kepada penerima terutama warga tua, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal mendapatkan BR1M tanpa perlu beratur panjang dan mengambil tempoh lama, untuk mendapatkan wang tunai. 

Pembukaan akaun boleh dilakukan di mana-mana institusi perbankan, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment