7 January 2014

Air naik kerana ais

Shah Alam-  Pengusaha restoran tiada pilihan dan  terpaksa menaikkan harga minuman berikutan kenaikan harga ais.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, kenaikan tidak dapat dielakkan.

“Kami faham pengeluar ais terpaksa menaikkan harga disebabkan tarif elektrik naik. Mangsanya ialah pengguna akhir iaitu pengusaha restoran.

“Sebelum ini, kami sudah banyak kali menyerap kos akibat kenaikan harga gula dan sebagainya. Namun, kali ini kami tidak boleh tahan dan terpaksa menaikkan harga minuman dan makanan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Katanya, tindakan itu bukan bertujuan mengaut untung, sebaliknya bagi menampung kos kenaikan harga barang mentah.

“Ais naik harga 20 peratus, tetapi kita tidak naikkan harga minuman dengan kadar sama.

"Sebagai sebuah persatuan yang bertanggungjawab, kita akan pantau ahli-ahli agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Kita juga takut pelanggan lari, jadi kita kena hati-hati. Kita tidak mahu pelanggan berfikir kita sengaja menaikkan harga,” katanya.

Menurutnya, pengusaha restoran terpaksa membeli ais daripada pembekal kerana harga lebih murah berbanding membuat ais sendiri.

“Mesin buat ais berharga RM5,000. Itu belum termasuk kos penyelenggaraan dan elektrik.

“Malah, ketika musim panas, pengumpulan air akan berkurangan. Jadi, lebih baik kita dapatkan daripada pembekal ais kerana mereka mengeluarkannya secara besar-besaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan tidak mengumumkan kenaikan lagi dalam masa terdekat.

“Sebagai peniaga, kami turut terasa dengan kenaikan yang berlaku. Malah, ada peniaga tidak beretika yang menunggu peluang ini untuk menaikkan harga barang.

“Jadi, kita harap kerajaan dapat menangguhkan kenaikan lain kerana akan memberi kesan kepada perniagaan kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment