Penjenayah berada dimana-mana...terbaru berlaku dikawasan masjid Gerai.
Seorang wanita penyelia asrama sebuah sekolah di Besut disamun dua lelaki menggunakan senjata kelewang ketika sedang menunggu rakannya ke tandas di sebuah masjid di Kampung Gerai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata sebelum kejadian wanita berumur 31 tahun itu bersama rakannya singgah di Masjid Al-Hafiz dan dia menunggu di dalam kereta sementara rakannya itu ke tandas.
Beliau berkata sebuah Perodua Myvi tiba-tiba berhenti di sebelah kereta mangsa dan dua lelaki keluar dari kereta itu lalu terus meluru ke kereta mangsa dan memaksanya membuka pintu dengan mengetuk-getuk cermin kereta menggunakan sebilah kelewang selain cuba membuka pintu itu.
Selepas berjaya membuka pintu, suspek menampar dan memukul mangsa sebelum melarikan beg tangan kepunyaannya, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamaruddin berkata orang awam yang berada di masjid berkenaan cuba membantu namun suspek berjaya melarikan diri bersama beg tangan mangsa dan hasil siasatan polis percaya kereta suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu AJQ 390.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan pesakit luar. Usaha menjejak suspek dilancarkan dengan bantuan polis Kelantan.
- Bernama-
No comments:
Post a Comment