3 June 2014

Bomba Malaysia diakui antarabangsa




Kepakaran Malaysia dalam bidang kebombaan semakin diakui di peringkat antarabangsa berikutan meningkatnya permintaan dari pelbagai negara untuk menghantar petugas mengikuti kursus profesional dan taktikal di negara ini.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Amer Yusof berkata, terbaharu kumpulan pertama 27 pegawai kanan syarikat minyak dan gas dari Dubai akan mengikuti kursus di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Kuala Kubu Bharu, Selangor Ogos ini.

Katanya, tahap keberkesanan pelatih berkenaan akan dinilai sebaik sahaja mereka menamatkan kursus yang diikuti dan sekiranya menampakkan hasil positif, sekurang-kurangnya 1,000 pelatih lagi akan menyusul menjalani kursus serupa.

ABPM Kuala Kubu Bharu dikhaskan bagi kursus pengurusan dan profesional melibatkan pegawai kanan manakala kursus peringkat operator taktikal di ABPM Wakaf Tapai dekat sini.
Beliau memberitahu, kesemua mereka akan diberi pendedahan dan latihan kebombaan yang tertumpu kepada empat disiplin iaitu kursus memadam kebakaran minyak dan gas, memadam kebakaran bangunan, mencari dan menyelamat selain kursus menyelamat di air.

"Akademi bomba kita mula dilihat agensi kebombaan luar negara, sekarang ini kebanyakan permintaan latihan datang dari merata tempat untuk hantar pegawai berkursus di negara ini termasuk Asia Barat dan Asia Timur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 3/2013 di ABPM, Wakaf Tapai dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid; Komandan ABPM Wakaf Tapai, Abdul Razak Muda dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md. Salleh Sarbini.

Katanya, penghantaran pelatih dari negara berkenaan dikendalikan oleh sebuah konsultan milik syarikat minyak dan gas Arab Saudi yang beroperasi di Dubai.

Amer seterusnya mengakui minat para pelatih luar negara untuk mengikuti kursus kebombaan di Malaysia didorong maklumat menerusi internet selain keupayaan dari segi kelengkapan dan kepakaran di akademi bomba di negara ini.

Tahniah JBPM!

Sumber

No comments:

Post a Comment