3 June 2014

OKU sesat: Nampak jalan cantik ke puncak gunung

Pelbagai kejadian misteri dan aneh didakwa berlaku sebelum seorang OKU yang sesat di kaki Gunung Tebu dekat Jabi, di sini, ditemui dan dibawa keluar dari hutan berkenaan, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, mangsa, Kamarulzaman Ibrahim, 46, berkata, dia ke Hutan Lipur Lata Belatan (kaki Gunung Tebu) untuk berkelah bersama ibunya, Siti Nor Kasar, 62, anak saudara dan rakan anak saudaranya yang kesemuanya seramai 10 orang.

Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi, dia tiba-tiba ternampak jalan cantik seperti laluan motosikal menghala ke arah puncak gunung.

“Saya seolah-olah diarah untuk mengikuti jalan itu ke arah puncak gunung tanpa rasa sakit walaupun saya mengalami masalah kecacatan pada kaki,” katanya yang menetap di Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut.

Muntah dan pengsan

Kamarulzaman yang juga guru al-Quran berkata, dia terus berjalan mengikut laluan berkenaan sehinggalah tiba di satu lokasi, dia mula keletihan dan muntah sebelum pengsan.

Katanya, sebaik tersedar daripada pengsan, dia mendapati jalan yang dilalui sudah tiada, malah tidak ada sebarang denai di kawasan itu.

“Saya sendiri hairan macam mana saya boleh turun ke bawah cerun dan berada berhampiran batu besar sedangkan kalau dalam keadaan biasa pun, sudah tentu saya tidak boleh lakukan sebab kawasan itu memang susah dilalui, lagipun kaki saya cacat.

"Mujur saya bawa telefon bimbit, bila dapat saja isyarat telefon, saya cuba hubungi talian kecemasan, masa itu jam 2.02 petang dan usaha saya berjaya, saya terus beritahu sesat,” katanya.

Kamarulzaman yang keletihan ketika itu kemudian menerima panggilan daripada seseorang yang bertanyakan keadaan di sekeliling tempatnya berada sambil mengarahkan dia supaya kekal di lokasi tersebut.

Orang yang menghubunginya ialah pemandu arah aktiviti lasak, Mohd Amir Hussin, 28, yang mahir selok-belok dan keadaan hutan di situ termasuk Gunung Tebu.

Difahamkan Mohd Amir mengambil masa 40 minit ke lokasi Kamarulzaman berada yang kebiasaannya memakan masa kira-kira 2 jam untuk pendaki biasa.

Laung azan

Kata Mohd Amir, dia berjaya menemui mangsa yang berada di bawah cerun berhampiran batu-batu besar pada jam 4.05 petang.

“Walaupun saya berada kira-kira 30 meter dengan kedudukan mangsa yang berada di seberang cerun, tapi kami tak dapat bercakap kerana masing-masing tidak boleh mendengar walaupun kami memekik sekuat hati.

“Saya terpaksa berhubung melalui telefon dan kemudian selepas kami sama-sama melaungkan azan, barulah saya dengar laungan azan mangsa begitu juga dia dan kami boleh bercakap,” katanya.

Sukar cari jalan keluar

Meskipun kejadian yang berlaku agak misteri, namun ia bukanlah perkara pelik bagi Mohd Amir yang berpengalaman mencari orang sesat kerana dia juga pernah tersesat selama dua hari di kawasan sama beberapa tahun dulu.

Bagaimanapun Mohd Amir mengakui, walaupun berpengalaman, dia turut berdepan kesukaran untuk menghampiri mangsa kerana keadaan muka bumi yang amat curam.

"Saya terpaksa berpaut dan bergayut pada akar di tebing batu untuk turun ke tempat mangsa, saya tak tahu macam mana dia (Kamarulzaman) boleh sampai ke situ dengan mudah," katanya.

Mohd Amir berkata, selepas menghampiri mangsa, dia sendiri hilang arah apabila tidak dapat mengesan sebarang denai termasuk yang dilaluinya sebelum itu untuk membawa mangsa keluar dari hutan yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari pusat perkelahan Lata Belatan.

“Keadaan Kamarulzaman ketika itu agak keletihan, saya beri kata-kata semangat kepadanya agar dia bertenang kerana kami pasti dapat keluar,” katanya yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Polis.

Sehingga jam 8.30 malam, kedua-dua mereka belum berjaya mencari jalan keluar, namun sebelum itu Mohd Amir sempat mengirim beberapa keping gambar kepada rakannya yang berada di bilik gerakan di Lata Belatan melalui telefon.

Dia juga menghubungi rakan dan pasukan penyelamat lain bagi memaklumkan mereka hilang arah dan sedang berusaha mencari denai untuk keluar dari hutan terbabit.

Hanya alami calar kecil

Ketua Operasi Mencari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Seman Awang berkata, Mohd Amir berjaya membawa keluar mangsa ke pusat gerakan di Lata Belatan, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, kedua-dua mereka hanya mengalami calar kecil akibat terkena duri.

"Kamarulzaman memang nampak keletihan kerana tidak makan sejak pagi selain terpaksa melalui jalan berbukit," katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainya Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut, Pejabat Hutan Daerah dan orang awam dihentikan pada jam 9.30 malam, kelmarin.

Katanya, Kamarulzaman dihantar ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, bapa Mohd Amir, Hussin,60-an yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia sememangnya mengesyaki ada sesuatu akan berlaku di kawasan tersebut kerana malam dua hari sebelum kejadian, dia terdengar suara seperti orang perempuan sedang membaca al-Quran dari arah hutan berkenaan.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment