2 June 2014

OKU sesat di Lata Belantan


Sehingga jam 8 malam tadi, Mohd Amer (kiri) masih mengalami kesukaran untuk membawa Kamarulzaman ke kaki Gunung Tebu.


Besut - Seorang lelaki OKU didapati sesat di kaki Gunung Tebu ketika berkelah bersama ahli keluarganya di Lata Belantan, semalam.

Mangsa Kamarulzaman Ibrahim, 46, dari Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut hanya disedari sesat apabila dia menghubungi talian kecemasan melalui telefon bimbitnya pada jam 2.02 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, gerakan mencari terus dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat dengan dibantu JPAM serta anggota polis selain kakitangan Pejabat Hutan Besut dan orang awam.

Menurutnya, seorang pemandu arah Gunung Tebu, Mohd Amer Husin, 30-an, turut melakukan usaha mencari dan berjaya menemui mangsa yang dalam keadaan keletihan di bawah cerun kira-kira satu kilometer dari Lata Belantan pada jam 4.05 petang.

"Bagaimanapun Mohd Amer turut menghadapi kesukaran mencari denai dan arah untuk membawa mangsa ke kaki gunung.

"Pada peringkat awal kami dapat berhubung dengan Mohd Amer dan dia memberitahu keadaan mereka baik cuma mangsa agak keletihan, ditambah lagi dengan keadaan kaki mangsa yang cacat," katanya.

Menurut Noorzainy, sehingga jam 8 malam tadi, kedua-duanya masih belum dapat turun ke kaki gunung.

"Pasukan mencari dan menyelamat turut melakukan operasi mencari mangsa dan pemandu arah itu," katanya.

Kata beliau, Mohd Amer seorang yang berpengalaman dan tahu selok-belok hutan serta gunung tersebut.

Ibu mangsa, Siti Nor Kasar, 62, berkata, mereka sekeluarga tiba di kawasan perkelahan tersebut bersama 10 yang lain pada jam 11 pagi.

Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi, anaknya berjalan ke arah gunung namun mereka tidak mengesyaki sesuai yang buruk akan berlaku.

"Kami lihat dia ke kaki gunung tetapi sangkakan dia ingin mandi di kawasan berhampiran.. tetapi dia tak balik ke tempat kami berkelah sehingga jam 4 petang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka menyangkakan Kamarulzaman berehat di dalam kereta di tempat parkir.

"Apabila kami ke tempat itu parkir kereta, orang ramai di situ memberitahu ada orang sesat dalam hutan, ketika itu barulah tahu anak saya hilang," katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment