PETALING JAYA: Pencuri yang merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan ditinggalkan dengan kepingan wang kertas yang tidak bernilai jika cadangan Bank Negara dilaksanakan.
'Bom berdakwat' akan diletakkan di dalam mesin ATM dan jika mesin ini diganggu oleh sesiapa sahaja, bom tersebut akan meletus menyebabkan wang kertas bertukar kepada warna merah dan mudah dikenalpasti sebagai wang curi.
Bank Negara, dalam garis panduan bertarikh 26 Ogos memanggil bank dan Syarikat Transit Tunai mempertimbangkan penggunaan alat perlindungan mata wang (CPD) untuk menghalang kecurian ATM.
Syarikat keselamatan tempatan, Extro Kod Sdn Bhd pada Rabu telah melakukan demonstrasi pek CPD atau pek pewarna yang sudah berada di pasaran.
Pengarah teknikalnya, Mohd Zaki Sulaiman berkata sebaik sahaja dipasang, pek pewarna akan meletus apabila seseorang cuba memecahkan mesin ATM.
"Peranti ini seperti seperti bom asap yang mengeluarkan dakwat ke setiap lapisan wang kertas dalam ATM," katanya.
Mohd Zaki berkata, sebenarnya tidak ada letupan yang berlaku tetapi terdapat haba dan kepanasan apabila CPD bertindak balas.
"Mekanisme letusan sebenar adalah rahsia perdagangan," katanya.
Beliau berkata dakwat yang dikenali 'Disperse Red 9' ini tidak berbahaya.
Beliau berkata, dakwat itu diimport tetapi CPD sebenar dibangunkan dan dikeluarkan dalam negara.
Mohd Zaki enggan mendedahkan kos setiap pek pewarna dan kos pemasangan.
"Siapa yang membayar untuk peranti ini akan bergantung kepada Bank Negara dan bank-bank," katanya.
Beliau berkata terdapat empat pembekal mesin ATM di negara ini tetapi pemasangan pek-pewarna ke dalam mesin yang berbeza tidak menjadi masalah.
Garis panduan Bank Negara menyatakan bahawa CPD akan mengeluarkan pewarna berwarna cerah oleh asap, cecair atau mana-mana ejen lain untuk 'mencemarkan' mata wang dalam mesin ATM sekiranya ia diceroboh.
Ini akan membolehkan pihak berkuasa dan orang ramai dengan mudah mengenal pasti wang kertas yang dicuri dan rosak, menyebabkan ia tidak boleh digunakan.
No comments:
Post a Comment