19 February 2014
Tiada lagi khutbah Jumaat? apa tindakan PAS di Penang?
GEORGETOWN - Satu laporan polis dibuat berikutan wujudnya khabar angin melalui sebuah laman blog mengenai penguatkuasaan larangan khutbah solat Jumaat di negeri ini.
Laporan berkenaan dibuat Pas dan DAP di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, semalam.
Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera, Mohd Hariszuan Jaharuddin berkata, laporan
berkenaan dibuat terhadap blog Negara Pakatan Rakyat yang didakwa sengaja menimbulkan api perkauman dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, kesemua maklumat dan fakta di dalam blog berkenaan adalah salah.
“Kami tidak mahu orang ramai mula bergaduh hanya disebabkan khabar angin yang tidak benar ini dan diibaratkan memang sengaja mahu mewujudkan kemarahan orang Islam.
“Malah kami mahu individu yang berkenaan bertanggungjawab atas apa yang sudah dilakukannya dengan cuba berkongsi maklumat salah melalui blog,” katanya.
Beliau berkata, blog berkenaan dijumpai pada Isnin lalu.
Melalui blog berkenaan, penulis memaklumkan kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan dengan serius cadangan untuk menghapuskan terus khutbah Jumaat di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Perkasa Balik Pulau, Mohd Rizuad Mohd Azudin akan bersama ahlinya ke Komtar untuk bertemu dengan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal berkenaan esok (19 Februari).
Abdul Malik kemudiannya ketika dihubungi menyelar tindakan tidak bertanggungjawab individu yang cuba menabur fitnah berkenaan.
“Sebenarnya saya tidak mahu komen kerana jika dilayan fitnah yang tidak masuk akal ini, kita hanya menjadi orang yang tidak siuman, negara komunis pun tidak pernah menutup masjid, apatah lagi kita hendak melarang khutbah Jumaat,” katanya.
Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment