Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan adalah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan bukannya satu bentuk rasuah.
Beliau berkata, isu rasuah dan tidak mematuhi syariah Islam tidak sepatutnya timbul kerana hasrat kerajaan memberi bantuan itu terlebih dulu dibentang dan diperbahaskan di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi Bajet 2014.
“Sepatutnya orang yang arif dan waras tidak perlu menimbulkan isu ini. Sebelum BR1M dibentangkan dalam bajet pada Oktober lalu, ia dibincang, diperdebat, diperbahaskan dan kemudian dimuktamadkan di Parlimen.
“Maknanya semua yang diberi ini bukan tiba-tiba muncul, tapi diberikan melalui pendekatan pembentangan bajet. Apabila pembentangan bajet diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul soal rasuah untuk pancing undi atau tidak ikut syariah,” katanya.
Tak suka usaha kerajaan
Jamil Khir berkata, pihak yang mendakwa pemberian BR1M adalah rasuah, boleh diibaratkan seolah-olah tidak menyukai usaha kerajaan membantu rakyat dengan meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
“BR1M kali ini adalah BR1M 3.0, maknanya sudah kali ketiga kita (kerajaan) bagi. Takkan rasuah pula sebab saban tahun kita bagi. Kalau rasuah tidak macam ini. Hal seperti ini dilahirkan oleh orang yang kecewa dengan usaha kerajaan untuk menolong rakyat. Dia suka kalau boleh kerajaan tidak tolong orang,” katanya.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment