20 August 2013

Tiada kenaikan caj perkhidmatan penumpang di KLIA 2

KLIA 2

Caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA 2 adalah sama dengan kos di terminal penerbangan tambang rendah (LCCT), Kata Timbalan Menteri Pengankutan Datuk Aziz Kaprawi.

PSC semasa di LCCT ialah RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 untuk penumpang domestik.

Pembinaan lapangan terbang kini 92 peratus siap dan bangunan terminal 96 peratus siap, dengan 20 pakej utama sudah selesai.
   
Ia meliputi sistem penyejukan, trek ERL, laluan pesawat yang menghubungkan Landasan 2 ke KLIA2, kawalan trafik udara (ATC), menara, pemasangan peralatan ATC, jejantas ke terminal, apron parkir pesawat, serta semua kerja-kerja perparitan dan utiliti utama yang berkaitan.  KLIA2 akan siap pada 30 April tahun depan dan akan beroperasi pada 2 Mei.


Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata komponen kerja yang berlaku kelewatan akan disemak semula oleh pasukan projek MAHB KLIA2 untuk penilaian semula oleh kontraktor pihak ketiga, jika kontrak terbabit tidak dapat memenuhi tarikh penyiapan.
   
Ia berkata beberapa kerja yang ditugaskan kepada kontraktor baru membabitkan jalan perkhidmatan, bangunan pasukan menyelamat dan kebakaran lapangan terbang serta sistem pengendalian bagasi. - Bernama

19 August 2013

Bandar Jertih perlu disusun semula

Sepatutnya dah lama kajian terhadap susun atur bandar dilakukan..bukan setiap kali raya baru nak kaji...sampai bila?

BESUT - Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) akan melakukan kajian terhadap susun atur bandar Jerteh tidak lama lagi bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar itu terutama ketika musim perayaan.

Adun Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof berkata, kajian akan dilakukan membabitkan jalan utama bermula dari Bukit Yong di sempadan Terengganu dan Kelantan serta dari Kampung Gong Nering dari arah Kuala Terengganu.


Menurutnya, JPBD akan merangka laluan alternatif bagi memudahkan pengguna jalan raya sama ada dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu atau sebaliknya, agar tidak berlaku kesesakan lebih teruk pada masa akan datang.

“Walaupun ada cadangan supaya jambatan bertingkat dibina menyeberangi Sungai Besut namun disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi, cadangan tersebut mungkin ditolak,” katanya.



Menurutnya, kajian struktur bandar turut dikaji manakala cadangan membina sebuah jambatan baharu menghubungi Sungai Besut di satu lokasi lain akan turut dikaji memandangkan satu laluan alternatif untuk pengguna dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu telah dikenal pasti.

MKN Hantar Pasukan Ke Mesir Nilai Keperluan Evakuasi

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghantar satu pasukan ke Mesir bagi menilai keperluan evakuasi dan situasi keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.
MKN dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu yang diketuai Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berperanan menyelaras persediaan dan persiapan dengan pihak berkaitan di negara tersebut sekiranya pelan evakuasi dilaksanakan.
"MKN telah diarahkan oleh kerajaan untuk menyelaras segala persiapan yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir berikutan keadaan tidak menentu di negara itu.
"Bagi tujuan ini, satu pasukan telah dihantar ke Mesir bagi menyelaras perjalanan proses ini dan sehingga kini dianggarkan seramai 3,300 rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut situasi keselamatan yang berlaku di Mesir kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila bilangan angka korban semakin meningkat selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Dr Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda pada minggu ini.
Perarakan oleh kumpulan penyokong Dr Mohammed Mursi juga diadakan di bandar utama sekitar Mesir dan dilaporkan turut melibatkan petempatan pelajar Malaysia yang berada di kawasan tersebut.
Dalam hubungan itu, beberapa siri mesyuarat diadakan bagi menilai perkembangan situasi keselamatan di Mesir dan merangka persiapan serta pelan tindakan sekiranya terdapat keperluan untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir ke tempat yang selamat.
Mesyuarat terbaru diadakan pada 15 Ogos lepas yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk MKN, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Malaysia Airlines dan AirAsia. BERNAMA

16 August 2013

Mat Sabu berdiam diri isu Syiah


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung isu Syiah serta dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan ajaran tesebut.

 Mat Sabu antara nama yang menjadi 'mangsa serangan' kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan ajaran itu.

Sebaliknya, mendakwa isu itu sengaja dibangkitkan media setiap kali tiba musim pemilihan parti. Pas akan mengadakan pemilihan parti itu pada November ini. 

Terdapat dakwaan Syiah sudah menular di beberapa pusat pengajian tinggi dan pemimpin Pas juga diresapi pengaruh mazhab tersebut

15 August 2013

Hampir 2,000 Taska belum daftar dengan JKM

Hampir 2,000 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negara ini, belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM Malaysia, Dr Zaitol Salleh berkata walaupun ada peningkatan dari segi tahap kesedaran di kalangan pengusaha taska untuk berdaftar dengan JKM, masih ramai yang tidak mengambil inisiatif mendaftarkan taska mereka.


"Sehingga Julai lalu, keseluruhan taska yang berdaftar dengan JKM ialah 2,400. Berlaku peningkatan dari segi bilangan taska berdaftar iaitu pada 2008, jumlahnya hanya 245 taska, meningkat kepada 373 pada 2009, 483 (2010), 819 (2011) dan 2,045 tahun lalu.

"Kami menyasarkan 1,000 taska baharu berdaftar dengan JKM menjelang akhir tahun ini, namun bilangan taska yang tidak berdaftar lebih banyak daripada itu, hampir 2,000 taska termasuk yang baharu," katanya pada sidang akhbar selepas program pendaftaran dan insentif taska bersama JKM, di Kompleks Penyayang JKM Kuala Muda, di sini hari ini.

Zaitol berkata hanya 335 taska baharu yang berdaftar dengan JKM sehingga Julai lepas, dan pihaknya akan terus mengesan taska yang tidak berdaftar termasuk taska di rumah yang mengambil kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, melebihi empat orang.

"Kami menggesa supaya taska yang belum berdaftar agar segera berdaftar. Kerajaan memperuntukkan RM15 juta di bawah Geran Penubuhan Taska dan Subsidi Yuran Pengasuhan berjumlah RM7.5 juta, dan ia dilihat satu galakan untuk pengusaha-pengusaha taska mendaftarkan taska masing-masing.

"Peruntukan ini merupakan pengiktirafan kerajaan bahawa perkhidmatan taska sangat penting kepada negara untuk membolehkan ibu bapa dan wanita bekerja selain menjamin kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak," katanya.

Zaitol berkata dari segi pemberian insentif, sejumlah RM3,000 diberikan kepada pengusaha taska di rumah yang berdaftar dengan JKM, RM10,000 untuk institusi taska yang mengambil antara 10 hingga 19 kanak-kanak, dan RM20,000 bagi institusi yang mengambil kanak-kanak melebihi 20 orang.

"Untuk tahun ini, kami mengeluarkan kompaun kepada tiga taska kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan JKM, masing-masing dikenakan kompaun maksimum RM5,000," katanya.

Mengenai kes-kes kemalangan atau kematian yang berlaku di taska, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan kes seperti itu berlaku di taska tidak berdaftar dengan JKM.

"Orang ramai boleh menyemak senarai taska yang berdaftar dengan JKM di laman web rasmi JKM atau menghubungi pejabat kebajikan masyarakat yang berhampiran untuk mendapat  pengesahan dan nasihat," katanya. - Bernama

14 August 2013

Zahari Tawar Diri Ketua Pemuda UMNO Besut


Layak kah Zahari Mat untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian? 

TIMBALAN Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Zahari Mat, 31 tahun, menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut pada pemilihan parti itu, Oktober ini.

zahari
Zahari, anak kelahiran Kampung Lubuk Kawah, Hulu Besut, dilihat sesetengah pihak sebagai pemimpin muda yang sesuai untuk menyambung amanah dan tugas Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu, Mohd Mahdi Musa yang kini telah dipilih sebagai ADUN Kota Putera pada PRU 13.
“Saya terpanggil untuk menawarkan diri, sekiranya diterima untuk sama-sama bekerja mengukuhkan UMNO bersama kepimpinan baru dan kepimpinan sedia ada.
“Jika ada pertandingan, harapan ahli Pemuda UMNO untuk melihat ia berlaku secara sihat dan penuh mesra sesama kita,” 
Zahari yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata, keputusannya itu bagi memperbaharui keupayaan kepimpinan agar lebih matang, pro aktif dan bersifat terbuka.
“Harapan saya mahu menawan hati orang muda bersama UMNO khususnya pengundi luar dan para pelajar di universiti serta institusi pengajian tinggi lain,” ujarnya yang juga bekas pemimpin pelajar di Unimas sekitar tahun 2003 hingga 2004 sehingga mendapat Anugerah Sri Kenyalang Unimas.
Zahari juga merupakan Yang DiPertua Gagasan Daerah Kuala Terengganu dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai di Yayasan Pembangunan Keluarga di Besut

Pelik,Perayaan Beri Makan Kepada Buaya!!



Pesta buaya adalah satu perayaan yang unik di Karachi, Pakistan. Ia adalah perayaan yang diadakan oleh kumpulan etnik yang dipanggil Sheedis. Adalah dipercayai bahawa Sheedis datang sebagai hamba dari Afrika. 



Menurut Blog, Festival itu diadakan di kuil di Manghopir sejak abad ke-13.Semasa perayaan ini Sheedis akan membuat ikrar di kuil. Ikrar ini kemudian diberikan kepada buaya melalui makanan iaitu daging kambing segar.

Apabila buaya menerima daging tersebut ia akan dilihat sebagai tanda nasib yang baik. Mereka percaya bahawa buaya tidak akan menyerang kerana mereka adalah pengikut wali yang dikenali sebagai Khwaja Hasan. Sheedis juga akan menari dan menyanyi di pesta ini.

Seorang bapa juga akan meletakkan bayi di atas rahang buaya untuk mendapat restu dan rahmat bagi bayi itu.