16 April 2012

Terima Kasih Kerajaan

Sekumpulan kanak-kanak menggunakan teknologi dimana sahaja. E-book adalah sumbangan kerajaan Terengganu yang memberikan percuma untuk pelajar-pelajar sekolah di Terengganu. Alhamdulillah kerana kestabilan politik, kanak-kanak ini boleh belajar dan menggunakan kemudahan teknologi tidak kira dimana sahaja.

Gambar ini diambil semasa kunjungan saya ke Pulau Perhentian semasa menghadiri sebuah program anjuran Jabatan kerajaan bersama penduduk Pulau Perhentian.

26 March 2012

BESUT TERUS CIPTA KECEMERLANGAN


Besut terus mencipta kecermelangan dalam pelbagai aspek. Terbaru Tabika KEMAS An-Nur telah mengharumkan nama Besut dengan menjadi johan keseluruhan. Tabika An-Nur menjadi johan dalam kategori luaran kelas (RM800), kategori dapur (RM800) dan tempat kedua kategori dalam kelas (RM500) sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang keseluruhan berjumlah RM7,100 dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012.

Kejuaraan itu berdasarkan kemenangan berganda yang diraih, tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan iaitu kebersihan dan kecerian luaran kelas, dalam kelas, dapur, landskap dan tandas. Tabika KEMAS An-Nur menjejaki langkah yang sama bagi pertandingan itu bagi tahun lepas.



Puan Saedah yang pernah menerima anugerah Guru Inovatif KEMAS Peringkat Kebangsaan pada 2007, kelas itu mula beroperasi pada 2003 dan pertama kali menyertai pertandingan tersebut.

“Kemenangan ini meningkatkan komitmen saya sebagai tenaga pengajar, ibu bapa dan masyarakat tempatan untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang khusus untuk generasi kecil ini menimba ilmu,” katanya. 

20 March 2012

CATATAN SEMALAM

Hampir sebulan saya tiada kesempatan untuk mencoret di blog ini. Oleh kerana kesibukan dengan kerja dan terpaksa travel ke beberapa buah negeri. Walau bagaimanapun bukan bermakna ruangan ini di tinggalkan terus.

Hari demi hari banyak isu yang dimainkan oleh pembangkang dan perang cyber berlaku diantar kedua belah pihak. Bila dan hujan, itu tandanya musim banjir dah tiba. Namun kehangatan isu dan PRU-13 semakin hangat. Ketika inilah 'YB Kontrak' mula turun padang untuk mencari 'tiket' bagi PRU akan datang. Dan masa inilah juga ramai 'Orang baik hati' maklumlah nak melobi nak jadi calon atau 'YB Kontrak'. Musim bahagi kain pelikat dan hamper dah tiba. Masa inilah rumah yang hampir menyembah bumi dibaiki, warga emas yang uzur sejak sepuluh tahun dulu dikunjungi oleh 'YB kontrak'. Wahai YB...kenapa menjelang PRU baru nak melawat rakyat yang bekerja keras untuk kamu dahulu.

Bagi yang melobi nak jadi calon tu, apakah matlamat anda untuk rakyat?rela jadi hamba rakyat?Jangan jadi calon semata-mata untuk mengejar Glamour je. Kalau anda jadi YB untuk mengumpul harta tiada maknanya..Pikul lah amanah yang diberikan. Ingat pesan emak. Pikul amanah yang diberikan rakyat. 

bagi 'YB Kontrak' jangan lupa ye kalau menang lagi, jangan sibuk dengan hal sendiri, maklumlah YB.

24 February 2012

Masjid Kayu Diberi Nama Masjid Ulul Albab oleh Baginda Sultan Terengganu

Masjid Kayu Seberang Jertih  di beri nama baru iaitu Masjid Ulul Albab oleh Sultan Terengganu. Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada tahun 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah. Ia mula digunakan pada 4 Julai tahun lepas.
Pengistiharan nama Masjid Ulul Albab dibuat ketika Baginda Sultan ketika merasmikan masjid berkenaan sebelum menyertai solat Jumaat bersama masyarakat Islam sekitar Kampung Seberang Jertih hari ini.
Turut serta pada hari itu ialah Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah,Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Y.B. Khazam Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A Rahman Mokhtar, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama kepada  Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.




Pada majlis itu juga Baginda Sultan 
turut menyampaikan watikah perlantikan imam dan bilal serta jurunikah kepada penjawat berkenaan dari daerah Besut.



Masjid Ulu Albab adalah diantara Masjid yang menarik di Negara ini. 
Masjid berkenaan dianggap unik kerana pembinaanya menggunakan kayu cengal dan mempunyai reka bentuk menarik berasaskan seni bina ketukanan Melayu yang diadun dengan cirri-ciri Islam kelasik. Nampaknya Besut akan menjadi tumpuan kepada Pelancong tempatan dan luar. Masjid itu kini menjadi mercu tanda baru kepada perkembangan syiar Islam di daerah Besut Masjid ini juga menjadi tumpuan pengantin baru bagi dijadikan tempat mengabadikan kenangan selain Masjid Hadhari Bandar Jertih.

23 February 2012

Sultan Terengganu Melawat Besut

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan berangkat merasmikan Desa Ukiran Kayu (DKU) di Kampung Raja, Esok (Jumaat) dalam rangka lawatan baginda selama dua hari ke daerah ini.

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dalam satu kenyataan memberitahu, baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah akan berangkat ke majlis perasmian pada pagi esoki.

DKU yang ditubuhkan oleh YPU dan diselia oleh Terengganu International Design Excellence Sdn. Bhd. (TIDE) merupakan institusi yang menawarkan pengajian berteraskan pendidikan vokasional dan keusahawanan ukiran kayu.

Penubuhannya di daerah yang terkenal dengan pengukir ternama bertujuan menyuburkan seni ukiran kayu dengan kemunculan lebih ramai anak tempatan mewarisi kemahiran dan mampu diketengahkan sebagai usahawan.

Selepas upacara tersebut, Baginda akan berangkat menunaikan solat Jumaat dan merasmikan Masjid Kayu Seberang Jerteh iaitu salah satu masjid seni bina Melayu yang terindah di negara ini.

Pada petang hari sama, baginda berdua akan menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah di Limbongan.

Pada hari Sabtu pula, baginda akan berangkat ke majlis taklimat mengenai pembangunan daerah di Pejabat Daerah Besut Kg Raja.

Desa Ukiran Kayu (DKU) di Kampung Raja, yang bakald dirasmikan oleh DYMM Sultan Terengganu

Masjid Kayu Seberang Jertih, DYMM Sultan Terengganu solat jumaat dan akan merasmikan serta memberi nama baru esok (Jumaat)

BP: Tertunggu-tunggu nama baru bagi Masjid kayu yang menjadi salah satu masjid seni bina Melayu yang terindah di negara ini, Bangga menjadi anak Besut.

20 February 2012

SBPA: Khabar Gembira atau Khabar DuKa?

Keputusan sama ada tuntutan penambahbaikan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan memberi khabar gembira kepada seluruh penjawat awam atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini.


Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, pada hari tersebut, pihaknya akan membentangkan hasil bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA kongres itu kepada Jawatankuasa Penambahbaikan SBPA yang ditubuhkan kerajaan.


"Kelmarin dan semalam kita ada bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA CUEPACS di Kuala Lumpur di mana kita masih lagi mengekalkan cadangan lima perkara yang diutarakan kongres supaya diteliti kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama CUEPACS di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Azih berkata, pihaknya juga menjangkakan isu tuntutan CUEPACS mengenai SBPA dapat diselesaikan sepenuhnya pertengahan April ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, CUEPACS amat menghargai kesediaan dan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikan isu itu demi kepentingan penjawat awam khususnya peringkat bawahan.

"Kita sangat hargai komitmen Perdana Menteri untuk dengar pandangan CUEPACS dan kesungguhan beliau untuk membantu menyelesaikan perkara yang dibangkitkan CUEPACS ini," katanya.
"Ini satu penghargaan tinggi daripada kerajaan kepada CUEPACS," katanya.

UTUSAN ONLINE

29 January 2012

JPA HARUS PRIHATIN RUNGUTAN PENJAWAT AWAM

JPA HARUS PRIHATIN RUNGUTAN PENJAWAT AWAM



Implikasi SBPA tak dimaklum secara telus, kakitangan bawahan tidak dapat manfaat

SISTEM Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang cuba hendak dipaksa ke atas keseluruhan 1.3 juta warga perkhidmatan awam akhir tahun lalu, kini sedang menjalani kajian menyeluruh hasil arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan banyaknya bantahan terhadap cara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) cuba hendak memaksa penerimaannya. Mereka juga dikatakan tidak diberikan masa cukup untuk menelitinya bahkan butiran lengkap cadangan itu juga tidak diberikan. Ini telah menimbulkan banyak persoalan kenapa JPA begitu terdesak mahu melaksanakannya. Dikatakan warga awam hanya diberikan masa tidak sampai dua minggu untuk membuat pilihan kalau tidak, mereka akan menghadapi risiko yang boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam perkhidmatan.

Persoalan yang timbul kenapa segala implikasi dan akibatnya tidak diterangkan kepada semua kakitangan awam? Kenapa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri tidak pula dibawa berunding dari awal lagi supaya segalanya kelihatan telus?

Bukankah orang ramai sentiasa diberi nasihat meneliti sebarang apa yang mereka mahu tandatangani dan mengetahui ‘the small print’ sebelum bersetuju? Tetapi bagi SBPA ini nampaknya JPA sendiri tidak mahu warga perkhidmatan awam bersikap demikian.

Apakah akibatnya daripada perlakuan demikian? Bukankah ia telah menimbulkan amarah di kalangan majoriti kakitangan awam hingga ada yang mengugut mahu berpaling tadah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat. 
Apakah ini muslihat beberapa kerat pegawai kanan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap SBPA ini? Hanya mereka yang boleh menjawab.

Keluhan beberapa warga awam dalam beberapa blog membuka mata terhadap apa sebenarnya berlaku. Kata seorang: “Beberapa bulan lalu kakitangan awam berasa sangat gembira apabila skim gaji baru diumumkan Perdana Menteri membabitkan kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Andaian kami sudah pasti kakitangan kerajaan pada gred paling rendah akan menikmati kenaikan 13 peratus sementara gred paling tinggi iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan mendapat kenaikan tujuh peratus.

“Namun sangkaan ini meleset apabila melihat kepada tawaran opsyen dikemukakan JPA. Kami diarahkan untuk membuat opsyen dalam keadaan sangat tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan mengenai skim gaji baru itu daripada ketua jabatan. Apabila mendapat surat opsyen berkenaan, kami diarahkan untuk menurunkan tandatangan pada borang opsyen pada masa itu juga”.

Kata seorang lagi: “Ketua pengarah JPA sudah buat kesilapan, akibatnya kerajaan dimarah oleh kakitangan sendiri. Perkara ini menjadi modal pembangkang untuk hentam kerajaan.

“Sebagai contoh ketika taklimat, soalan diajukan tidak dapat dijawab dengan tepat, sebaliknya jawapannya ialah akan berlaku kenaikan gaji daripada SSM kepada SBPA. Tentunya ada tetapi berapakah kenaikan? RM1 pun kenaikan juga”.

Kata seorang lagi: “Yang aku pelik, kenapa masih nak berahsia sangat pasal lampiran ‘C’ tu? Bila tanya pada ketua pejabat, jawapannya ‘rahsia’. Macam mana hendak sign kalau rahsia?

Seorang lagi berkata demikian: “Sebagai contoh tawaran yang diberi kepada pegawai bawahan saya yang berada pada gred paling rendah dalam kerajaan iaitu untuk jawatan Pekerja Awam Gred R1 yang dulunya dipanggil ‘buruh’ yang berkhidmat selama 15 tahun, bergaji pokok RM1,242.09 hanya mendapat kenaikan RM88.

“Jika dihitung naik 13 peratus, beliau sepatutnya mendapat RM161.47. Sebaliknya jumlah kenaikan diperoleh itu hanya lebih kurang tujuh peratus.

“Begitu juga dengan kerani yang berjawatan Pembantu Tadbir Gred N17 yang sudah berkhidmat selama lebih kurang sembilan tahun bergaji pokok RM1,369.39. Beliau hanya mendapat kenaikan RM61 iaitu tidak sampai pun lima peratus”.

Semua ini adalah rungutan sebenar yang sepatutnya sudah diteliti supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sedemikian. Dalam pada itu dikatakan pula kenaikan yang diberikan kepada pegawai atasan termasuk yang ditakrif sebagai ‘Premier’ dan ‘JUSA’ langsung tidak setimpal.

Apakah ini tidak menunjukkan bagaimana songsangnya pertimbangan yang diberikan kepada warga bawahan berbanding pegawai atasan?

Anehnya skim itu kononnya adalah dalam rangka perjalanan kerajaan mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Bagaimana mahu mencapai matlamat itu kiranya kakitangan bawahan hanya diberikan kenaikan serendah RM10 sebulan berbanding kenaikan mencecah RM8,000 bagi pegawai JUSA?

Ini bermakna jurang pendapatan bukan lagi dapat dirapatkan tetapi akan bertambah renggang dengan yang sudah pun menerima ganjaran besar menerima kenaikan yang sungguh tinggi, walhal mereka yang sepatutnya diberikan imbuhan lebih tinggi tidak mendapat pertimbangan demikian, malah diberikan serdaknya saja.

Inikah caranya pimpinan perkhidmatan awam mahu merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara yang tertinggi dengan yang terendah?

Maka tidak menghairankan kenapa hampir keseluruhan 1.3 juta warga membantah melalui CUEPACS yang juga lambat memberikan reaksi hanya kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang disarankan.

Jadi persoalannya apa agaknya ada dalam pemikiran mereka yang membuat cadangan itu dan cuba memaksa warga awam menelan apa yang cuba disogok?

Baik jugalah kini Perdana Menteri menyedari betapa buruknya akibat usaha itu dengan kesedaran bagaimana kiranya ia dibiarkan saja kemungkinan besar ramai daripada 1.3 juta warga awam tidak akan lagi memihak kerajaan kiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Hanya beberapa kerat pegawai yang mencipta dan memikirkan skim itu saja boleh jawab apa sebenarnya muslihat mereka mengadakan skim yang begitu songsang.

Berita Harian