26 February 2014

Calon MCA tak bantu BN menang?

BN dijangka berdepan kekalahan lebih besar dengan keputusan meletakkan calon MCA untuk melawan calon PKR di Dun Kajang pada PRK Dun Kajang pada 23 Mac ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa, berdasarkan perkembangan politik semasa, lebih-lebih lagi jumlah kaum Melayu mendahului kaum lain di kawasan tersebut.

“Dengan meletakkan calon MCA, kekalahan lebih besar akan berlaku di pihak BN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak meramalkan sebarang kemenangan di pihak BN jika parti itu mahu mengubah keputusan dengan meletakkan calon Umno di kerusi tersebut, tetapi menegaskan bahawa MCA tidak banyak membantu kemenangan BN.

Pada masa sama, beliau turut menganggap calon adalah isu parti masing-masing dan menyerahkan perkara tersebut kepada BN untuk menentukan pilihan yang tepat sebelum penamaan calon 11 Mac ini.

BN sebelum ini mengumumkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon yang akan bertanding menentang calon PKR iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Dalam kenyataan sebelum ini, MCA turut mengingatkan pelbagai pihak agar tidak memandang rendah keupayaan parti itu merampas semula kerusi Dun Kajang.

Dalam perkembangan sama, Syed Azman yang juga Adun Batu Burok menjelaskan bahawa Pas akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana calon yang diketengahkan PKR di kerusi terbabit.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon PKR untuk terus mempertahankan kerusi N25 Kajang di samping berharap PRK kali ini berjalan lancar.

“Kita juga berharap supaya tiada sebarang bentuk kekecohan berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung,” katanya.

Sinar

25 February 2014

BR1M bukan rasuah: Jamil Khir


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan adalah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan bukannya satu bentuk rasuah. 

Beliau berkata, isu rasuah dan tidak mematuhi syariah Islam tidak sepatutnya timbul kerana hasrat kerajaan memberi bantuan itu terlebih dulu dibentang dan diperbahaskan di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi Bajet 2014. 


“Sepatutnya orang yang arif dan waras tidak perlu menimbulkan isu ini. Sebelum BR1M dibentangkan dalam bajet pada Oktober lalu, ia dibincang, diperdebat, diperbahaskan dan kemudian dimuktamadkan di Parlimen. 


“Maknanya semua yang diberi ini bukan tiba-tiba muncul, tapi diberikan melalui pendekatan pembentangan bajet. Apabila pembentangan bajet diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul soal rasuah untuk pancing undi atau tidak ikut syariah,” katanya. 

Tak suka usaha kerajaan 

Jamil Khir berkata, pihak yang mendakwa pemberian BR1M adalah rasuah, boleh diibaratkan seolah-olah tidak menyukai usaha kerajaan membantu rakyat dengan meringankan beban golongan berpendapatan rendah. 

“BR1M kali ini adalah BR1M 3.0, maknanya sudah kali ketiga kita (kerajaan) bagi. Takkan rasuah pula sebab saban tahun kita bagi. Kalau rasuah tidak macam ini. Hal seperti ini dilahirkan oleh orang yang kecewa dengan usaha kerajaan untuk menolong rakyat. Dia suka kalau boleh kerajaan tidak tolong orang,” katanya. 

BERNAMA

Taib Mahmud Yang di-Pertua Negeri baharu




Taib akan terima watikah pelantikan  Jumaat ini
Kuching: Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, bagi menerima watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri baharu pada Jumaat ini.

Ketua Menteri Sarawak itu menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh kontrak perkhidmatannya. 


Sumber memberitahu BH, majlis dijangka berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur secara tertutup pada sebelah petang dan hanya disaksikan beberapa kenamaan dari Sarawak, termasuk Ketua Menteri yang baharu, Tan Sri Adenan Satem.

Berita Harian Online

23 February 2014

Telur tiruan daripada tumbuhan


Telur tiruan daripada tumbuhan


San Francisco: Sejenis telur tiruan diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan bakal menembusi pasaran global selepas firma Amerika Syarikat (AS) yang dibiayai lelaki terkaya di Asia mendedahkan perkara itu.

Ia bakal menggantikan telur dalam semua termasuk pembuatan kek hingga mayonis tanpa memerlukan seekor ayam untuk menghasilkan pengeluarannya. 


Produk keluaran Hampton Creek itu sudah dijual di Whole Foods di California dan kini firma yang dibiayai oleh lelaki terkaya Asia, Li Ka-shing serta pengasas bersama Yahoo, Jerry Yang, merancang untuk menembusi pasaran dunia. 


Perjanjian dengan 500 syarikat

Malah syarikat terbabit dikatakan sudah menandatangani perjanjian kerjasama dengan 500 syarikat termasuk pengeluar dan peruncit makanan terbesar dunia.

“Teknologi membolehkan semua untuk mendapat lebih banyak pilihan untuk masa depan bersama yang lebih baik,” katanya.

“Untuk memenuhi semua permintaan penduduk dunia yang semakin bertambah, kita perlu lebih efisyen, lebih mesra alam sekitar dan lebih berkualiti serta banyak pilihan. 
Ketua pegawai eksekutif, Hampton Creek dan pengasas, Josh Tetrick berkata, kita hidup ketika pilihan tidak sihat adalah murah dan mudah, manakala pilihan sihat adalah mahal dan sukar.

“Sasaran kami sentiasa untuk membina sebuah syarikat yang menghasilkan makanan sihat dan mudah didapati kepada sesiapa saja.

“Menyelesaikan masalah itu bermakna menyelesaikan masalah kebanyakan orang ramai bukan hanya mereka yang mampu untuk membayar AS$5.99 bagi telur organik,” katanya.

Idea Tetrick adalah untuk mencari campuran tumbuh-tumbuhan yang senang tumbuh, apabila dicampur bersama dengan betul, meniru rasa, nilai khasiat dan kegunaan memasak bagi sebiji telur.


AGENSI

19 February 2014

Tiada lagi khutbah Jumaat? apa tindakan PAS di Penang?

Tiada lagi khutbah Jumaat?
GEORGETOWN - Satu laporan polis dibuat berikutan wujudnya khabar angin melalui sebuah laman blog mengenai penguatkuasaan larangan khutbah solat Jumaat di negeri ini.

Laporan berkenaan dibuat Pas dan DAP di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, semalam.

Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera, Mohd Hariszuan Jaharuddin berkata, laporan
berkenaan dibuat terhadap blog Negara Pakatan Rakyat yang didakwa sengaja menimbulkan api perkauman dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Menurutnya, kesemua maklumat dan fakta di dalam blog berkenaan adalah salah.

“Kami tidak mahu orang ramai mula bergaduh hanya disebabkan khabar angin yang tidak benar ini dan diibaratkan memang sengaja mahu mewujudkan kemarahan orang Islam.

“Malah kami mahu individu yang berkenaan bertanggungjawab atas apa yang sudah dilakukannya dengan cuba berkongsi maklumat salah melalui blog,” katanya.

Beliau berkata, blog berkenaan dijumpai pada Isnin lalu.

Melalui blog berkenaan, penulis memaklumkan kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan dengan serius cadangan untuk menghapuskan terus khutbah Jumaat di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Perkasa Balik Pulau, Mohd Rizuad Mohd Azudin akan bersama ahlinya ke Komtar untuk bertemu dengan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal berkenaan esok (19 Februari).

Abdul Malik kemudiannya ketika dihubungi menyelar tindakan tidak bertanggungjawab individu yang cuba menabur fitnah berkenaan.

“Sebenarnya saya tidak mahu komen kerana jika dilayan fitnah yang tidak masuk akal ini, kita hanya menjadi orang yang tidak siuman, negara komunis pun tidak pernah menutup masjid, apatah lagi kita hendak melarang khutbah Jumaat,” katanya.


Sinar Harian

18 February 2014

Lelaki ugut sebar gambar aib bekas isteri


Gambar Hiasan
Kuala Lumpur: Akibat dendam terhadap bakal suami bekas isterinya, seorang lelaki mengugut menyebarkan gambar bogel bekas isterinya jika wanita itu meneruskan niatnya untuk berkahwin dengan suami baru, kelmarin.
Difahamkan, mangsa berusia 36 tahun itu bercerai dengan bekas suaminya dua tahun lalu sebelum keluarganya mencarikan jodoh baru untuk wanita berkenaan dua bulan lalu.
Bagaimanapun, bekas suami mangsa yang tidak menyukai pilihan keluarga wanita itu menyebabkan dia mengugut menyebarkan gambar bogel mangsa di Internet sekiranya meneruskan perkahwinannya dijadualkan berlangsung Mei depan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Shida berkata, dia berpisah dengan bekas suaminya berikutan sikap panas barannya dan selepas bercerai, dia tidak menghubungi lelaki itu.
“Namun, tiba-tiba bekas suami menghubungi saya kelmarin dan menyatakan niatnya untuk berjumpa.
Meskipun saya terkejut menerima panggilan itu, saya tetap berjumpa dengannya kerana dia menyatakan ada hal penting untuk dibincangkan.
“Ketika perjumpaan itu, bekas suami menunjukkan satu gambar bogel saya yang dipercayai dirakam ketika kami sah sebagai suami isteri dan dia meminta saya membatalkan perkahwinan dengan bakal suami dengan dakwaan bakal suami saya kaki perempuan,” katanya.
Beliau berkata, apabila dia menyatakan tidak mampu untuk membatalkan perkahwinan berikutan bakal suami pilihan keluarga, bekas suaminya naik angin dan mula mengugut menyebarkan gambar bogelnya.
Katanya, lelaki itu turut mengugut akan memukul dan membunuhnya jika enggan menurut perintahnya itu.
Bagi mengelak lelaki itu bertindak agresif, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan.
mymetro

12 February 2014

KERAJAAN AKAN BAGI DUIT KEPADA RAKYAT 23 FEBRUARI INI!!

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon pada 22 Februari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi laman Facebooknya hari ini, Najib berkata, bagi pemohon yang tiada akaun bank atau tidak sempat mengemaskini maklumat perbankan mereka, bayaran BR1M akan dibuat secara berperingkat bermula 23 Februari.

Pendaftaran permohonan BR1M bagi pemohon baharu ditutup pada 31 Januari lepas, sementara bagi penerima sebelum ini mereka hanya perlu mengemaskini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkam Najib pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang layak akan menerima bantuan BR1M sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM300.

Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan bantuan itu yang bakal dinikmati hampir 7.9 juta rakyat Malaysia. - BERNAMA