Awas, Zombi mengganas dan menyerang panggung,berhati-hati para pengunjung..
JIKA sebelum ini, kisah mayat hidup atau lebih tepat,
zombie, sering diangkat di layar perak, kali ini penonton dapat
merasainya sendiri menerusi teater, Zombie Serang Panggung.
Dipentaskan di PJ Live Arts, Petaling Jaya, pada minggu lalu, teater
arahan Wan Shafiq Mohd Rosli, 24, ini memberi peluang kepada penonton
merasai pengalaman berdepan dengan zombie seperti mana filem-filem
hebat, Quarantine, Dawn of the Dead dan Resident Evil.
Kisahnya, populasi manusia serta segenap kehidupan yang bernyawa musnah
akibat serangan penyakit menakutkan. Apatah lagi mayat hidup itu
memakan daging manusia demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Manusia yang masih hidup pula terpaksa bersembunyi supaya tidak menjadi
mangsa seterusnya. Itulah sedikit gambaran mengenai dunia zombie
menerusi teater ini.
Walaupun dibarisi pelakon teater independent (indie) seperti Adika
Zainal, Aznah Mohd Ramli, Nor Azlin Mohd dan Hasbullah Solihin, namun ia
tetap setanding pelakon-pelakon komersial di pentas berprestij.
Malah sentuhan pengarahan dan lakonan, Wan Shafiq, sebagai peneraju
utama teater itu wajar dipuji . Biarpun usianya masih muda, namun
karyanya memberi impak besar terhadap perjalanan teater.
Tanpa prop, kostum dan solekan melampau, penonton masih dapat merasai
ketakutan. Malah penggunaan cahaya malap serta sahutan anjing sebagai
latar bunyi, menambah realistik.
Cipta kelainan & gimik
Kata Wan Shafiq, pemilihan tempat sangat penting agar ruang tidak
terlalu besar atau kecil. Menurutnya, pementasan tersebut memerlukan
ruang untuk memuatkan 30 penonton dalam satu masa agar pelakon dapat
menjiwai watak mereka dengan baik.
"Jika ruang terlalu sempit, ia menyukarkan pelakon untuk bergerak bebas atau melakukan babak aksi lasak.
"Sebaliknya, ruang yang terlalu luas menyebabkan interaksi antara pelakon dan penonton kurang menjadi," kata Wan Shafiq.
Atas faktor tersebut, gimik yang dilakukan mereka menjadi terutamanya
di babak terakhir apabila penonton turut merasai ketakutan dikejar
zombie.