15 April 2014

UMNO BACHOK SOKONG HUDUD

BACHOK – Umno Bachok menyokong sepenuhnya pelaksanaan hudud di negeri ini dan menggesa ia dipercepatkan bagi mengekang pelbagai kes jenayah serta keruntuhan moral yang semakin berleluasa.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain berkata, selama ini Umno di bawah pemerintahan BN telah melaksanakan kaedah undang-undang syariah di negeri masing- masing termasuk ketika memerintah Kelantan.

"Hudud adalah hukum ALLAH SWT dan kita sebagai hambanya tidak boleh ingkar untuk melaksanakannya.

"Kami dalam Umno tak pernah bantah hudud, sebaliknya kita gesa percepatkan supaya jadi contoh kepada negeri lain," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan Umno bagi Parlimen Bachok di Dewan Haji Hussin, Perupuk, semalam.

Majlis  dirasmikan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri 500 orang termasuk pemimpin jawatankuasa empat peringkat; Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat; Penyelaras Dun Perupuk, Che Shamsuzuha Che Noh dan Penyelaras Dun Tawang, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Dalam pada itu, Dr Ilias berkata, tidak perlu menuding jari menyatakan Umno tidak izin melaksanakan hudud kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) diluluskan sejak 1993.

"Sebaliknya mereka perlu yakinkan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk sokong hudud sebab terang-terangan rakan PR  tidak pernah sokong hudud.

"Sepatutnya itu yang diutamakan, bukan menuduh Umno tak sokong hudud,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat berkelompok tersebut dijangka  diadakan pada 18 hingga 29 April ini di 154 cawangan Umno dalam Parlimen Bachok.

Pada majlis itu juga diadakan penerangan hudud, oleh Pegawai Pembangunan Islam, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Ustaz Zaki Mohamad.

SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment