16 April 2014

Awas Pengguna Facebook, Pepijat Heartbleed Menyerang!!



KUALA LUMPUR - Pengguna laman sosial Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat 'Heartbleed', iaitu sejenis penggodam akaun pengguna.

Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.

Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan melalui pepijat Heartbleed.

Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz, berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media sosial kerana laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang banyak.

"Negara kita merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke tahap mereka boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan, gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna berkenaan.

"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan akaun anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang disertakan di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.

Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung kehidupan mereka di laman itu.

"Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan peribadi anda," katanya.

Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed awal minggu lalu.

Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat Heartbleed.

Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas dan telahpun memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan sistem keselamatan masing-masing dengan segera.

SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.

Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. - Bernama

15 April 2014

UMNO BACHOK SOKONG HUDUD

BACHOK – Umno Bachok menyokong sepenuhnya pelaksanaan hudud di negeri ini dan menggesa ia dipercepatkan bagi mengekang pelbagai kes jenayah serta keruntuhan moral yang semakin berleluasa.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain berkata, selama ini Umno di bawah pemerintahan BN telah melaksanakan kaedah undang-undang syariah di negeri masing- masing termasuk ketika memerintah Kelantan.

"Hudud adalah hukum ALLAH SWT dan kita sebagai hambanya tidak boleh ingkar untuk melaksanakannya.

"Kami dalam Umno tak pernah bantah hudud, sebaliknya kita gesa percepatkan supaya jadi contoh kepada negeri lain," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan Umno bagi Parlimen Bachok di Dewan Haji Hussin, Perupuk, semalam.

Majlis  dirasmikan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri 500 orang termasuk pemimpin jawatankuasa empat peringkat; Penyelaras Dun Jelawat, Mohd Radzuan Hamat; Penyelaras Dun Perupuk, Che Shamsuzuha Che Noh dan Penyelaras Dun Tawang, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Dalam pada itu, Dr Ilias berkata, tidak perlu menuding jari menyatakan Umno tidak izin melaksanakan hudud kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) diluluskan sejak 1993.

"Sebaliknya mereka perlu yakinkan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk sokong hudud sebab terang-terangan rakan PR  tidak pernah sokong hudud.

"Sepatutnya itu yang diutamakan, bukan menuduh Umno tak sokong hudud,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat berkelompok tersebut dijangka  diadakan pada 18 hingga 29 April ini di 154 cawangan Umno dalam Parlimen Bachok.

Pada majlis itu juga diadakan penerangan hudud, oleh Pegawai Pembangunan Islam, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Ustaz Zaki Mohamad.

SINAR HARIAN

14 April 2014

Besut di Serang Beruang, Marang di Serang Biawak

Macam-macam berlaku, Selepas seorang penoreh getah diserang beruang dan menyebabkan kecederaan, kini di Marang seorang warga emas nyaris cedera diserang biawak air.

MARANG - Seorang suri rumah, Kalsom Mohamad, 60-an, melalui detik cemas dan nyaris cedera selepas diserang seekor biawak air atau nama saintifiknya Vavanus salvator sepanjang 2.5 meter ketika berada di depan rumahnya di Rambai Jantan di sini.

Pengerusi JKKK Bukit Jejulung, Razak Mamat, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, wanita terbabit juga merupakan kakak iparnya sedang bersiar-siar di kawasan rumah.

Menurutnya, keadaan bertukar cemas apabila Kalsom menyedari terdapat seekor biawak merenung tajam ke arahnya sebelum bertindak melarikan diri masuk ke dalam rumah kerana takut haiwan itu menyerang.

“Ketakutannya itu menjadi nyata apabila biawak seberat hampir 70 kilogram itu mula menyerang dan mengejarnya sehingga ke dalam rumah dengan mulut terbuka luas namun tidak sempat menggigitnya,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan ketika kejadian itu berlaku, Kalsom bersama suaminya Awang Mamat, 60-an serta seorang anak mereka yang berusia 30-an berada di dalam rumah berkenaan.

Razak yang lebih dikenali penduduk sebagai Pak Jak berkata, suami Kalsom juga merupakan abangnya, terus menghubunginya untuk meminta bantuan sebelum dua penduduk diminta ke rumah berkenaan untuk membantu keluarga mangsa.

Menurutnya, dua lelaki terbabit mengambil masa setengah jam untuk menangkap biawak  itu sebelum berjaya mengikatnya dan kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Marang.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Marang, Md Shubir Md Isa mengesahkan menerima panggilan sebelum lima anggota diketuai ketua operasinya, Mohd Azizuddin Ayub bergegas ke tempat kejadian untuk menangkap haiwan itu.

“JPAM Daerah Marang terima panggilan kira-kira jam 4.30 petang  daripada ahli keluarga mangsa sebelum lima anggota terbabit bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.


Baca juga Kepala dalam Mulu Beruang ke yang berlaku di Besut

Kepala dalam mulut beruang

Kepala dalam mulut beruang

HULU BESUT - Seorang penoreh getah cedera parah selepas diserang seekor beruang ketika dia sedang mencari buah kerdas di hutan berdekatan ladang kelapa sawit Felda Tenang, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mangsa, Mohd Sulaiman Jusoh, 58, terselamat selepas dia memukul beruang itu berkali-kali ketika kepalanya berada di dalam mulut beruang itu, dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam.

Isteri mangsa, Rokiah Abas, 50, berkata, suaminya keluar menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di tanah rancangan Felda Tenang kira-kira jam 8 pagi untuk mencari buah kerdas di dalam hutan berhampiran ladang kelapa sawit, kira-kira lima kilometer dari rumah.

Kata Rokiah, dia pula pergi menoreh seorang diri di kebun getah tidak jauh dari rumah.

“Pada jam 9.30 pagi, suami menghubungi makcik melalui telefon bimbit memberitahu dia diserang beruang. Pada mulanya makcik ingatkan dia kena sengat tebuan, tetapi dia kata matanya kabur dan kepala cedera dibaham beruang.

“Suami makcik tidak pasti akan tiba di rumah atau tidak kerana menunggang motosikal sendiri dalam keadaan cedera parah dengan jarak yang jauh itu,” katanya.

Suami rebah depan tangga rumah

Rokiah berkata, dia terus memberitahu penduduk kampung mengenai kejadian itu dan kira-kira 30 penduduk pergi ke hutan mencari suaminya, namun tidak bertemu dengan mangsa yang melalui jalan berlainan.

Menurutnya, sebaik pulang ke rumah, dia mendapati suaminya rebah di depan tangga rumah dalam keadaan cedera parah di bahagian kiri kepala.

“Dia dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut oleh JPAM yang tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Kata Rokiah lagi, pemeriksaan di hospital mendapati, tulang muka berdekatan mata kiri suaminya patah selain luka besar di bahagian berhampiran mata dan kiri kepala akibat serangan itu.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan petang semalam untuk rawatan lanjut, tetapi keadaannya stabil.

“Suami makcik kata dia tiba-tiba diserang beruang itu yang membawa dua anak ketika dia mencari buah kerdas untuk dijual.

“Beruang besar itu menggigit bahagian muka dan kepala suami makcik sehingga kepalanya berada dalam mulut beruang itu, namun dia bertindak melawan haiwan liar itu untuk selamatkan diri,” katanya.

Tetak kaki beruang

Rokiah berkata, beruang itu kemudian melepaskan suaminya selepas suaminya itu menetak kaki beruang dengan kapak dan parang.

Kata Rokiah, suaminya sebelum ini sering ke hutan untuk mencari hasil hutan, namun tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusoff Shariff pula berkata, pihaknya menerima laporan dan akan menyiasat lanjut kejadian berkenaan.

Menurut beliau, tindakan awal akan diambil sekiranya disahkan jenis haiwan yang menyerang mangsa, di mana pihaknya memasang perangkap untuk menangkap haiwan liar itu.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, kejadian terakhir membabitkan serangan beruang di daerah ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu melibatkan seorang penoreh getah di Kampung Durian Telur yang juga di Hulu Besut.

Sinar Harian Online

7 April 2014

HUDUD: UMNO SEDIA SOKONG

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menyatakan bahawa beliau dan Umno Kelantan menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Menurut Ku Li yang juga bekas menteri Kabinet, disebabkan itulah Umno Kelantan menyokong penuh pembentangan Rang Undang-Undang tersebut sebelum ini.

"Laksanalah kita sokong, saya tidak tentang.

"Masa Rang Undang-Undang itu dibentang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, kita tidak tentang, tidak ada masalah, mana mungkin kita hendak tentang hukum ALLAH," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu,  Kerajaan Kelantan menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang membawa kepada perlaksanaan hukum hudud pada 2015.

Ia berikutan kesediaan kerajaan pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen tersebut, sebagaimana jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, baru-baru ini.

SINAR HARIAN

3 April 2014

Kerajaan DAP Pulau Pinang Cakap Tak Serupa Bikin

Kerajaan DAP cakap tak serupa bikin, lihat bukti ini:-

1. Kerajaan DAP Pulau Pinang setuju cadangan naik tarif air (Berita Harian Online)
2. Sebelum Ni Malaysiakini melaporkan- Pulau Pinang jamin tarif air tidak naik

Begitual sikap DAP, kalau kerajaan prsekutuan naaik itu, kecoh betul, bila terkena batang hidung sendiri, baru tau...

p/s: Sama-sama pikir le sedare...setakat cakap tak buat...ingatlah DAP bukan boleh tolong rakyat.