5 March 2014

Gempar!! Siapa punya angkar? Naskhah al-Quran Masjid Limbongan dirosakkan

Naskhah al-Quran Masjid Limbongan dirosakkan


BESUT - Penduduk gempar dengan insiden al-Quran dan Yasin di Masjid Limbongan serta Masjid Nasaruddin Shah dekat Kampung Raja, di sini, dicampak ke dalam mangkuk tandas, diselerakkan dan dibuang ke luar masjid, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian dan memaklumkan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kejadian di Masjid Limbongan yang jaraknya lima kilometer dari Masjid Nasaruddin Shah paling teruk apabila suspek bertindak membuang al-Quran di dalam lima mangkuk tandas lelaki, selain di atas singki dan beberapa tempat lain.

“Kejadian di Masjid Limbongan disedari anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang membuat rondaan di sekitar masjid itu pada jam 2.30 pagi semalam apabila mendapati sejumlah al-Quran berselerak di atas lantai depan tangga masjid.

"Sedangkan sebelum itu kira-kira jam 1 pagi, anggota terlibat ada meronda, namun tiada al-Quran di sekitar kawasan tersebut," katanya.

Menurut Kamaruddin, anggota terbabit turut mendapati beberapa al-Quran dibuang di dalam mangkuk tandas lelaki dan beberapa lokasi lain, termasuk diselerakkan di dalam masjid.

Kata beliau, penceroboh juga dipercayai memecahkan cermin pintu gelongsor bahagian dalam masjid untuk membuka pintu, malah terdapat kesan darah di lantai dipercayai akibat kecederaan dialami suspek ketika memecahkan cermin tersebut.

“Selepas memasuki ruang utama masjid, suspek dipercayai ambil al-Quran dan Yasin dan bertindak menyelerakkan dan buangnya, selain turut merosakkan dua kipas dinding yang terdapat di luar ruang utama masjid.

"Susulan itu, anggota SRS dan jawatankuasa masjid termasuk Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja," katanya.

Ceroboh dua masjid

Sementara itu, pada malam sama, Masjid Nasiruddin Shah (Masjid Kampung Raja) turut dicerobohi di mana suspek bertindak menyelerakkan dan membaling al-Quran di ruang utama masjid serta ruang solat jemaah perempuan.

Kamaruddin berkata, kejadian itu disedari bilal ketika datang ke masjid itu untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam dan beliau tidak menolak kemungkinan kejadian di kedua-dua masjid tersebut dilakukan orang yang sama.

Menurutnya, motif kejadian belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu atau pihak terlibat sekali gus menangkap suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, beliau menafikan kejadian sama turut berlaku di dua masjid lain iaitu Masjid Ulu Albab dan Masjid Hadhari Jertih.

Kata Kamaruddin, kejadian di Masjid Ulu Albab adalah kes kecurian membabitkan harta benda jemaah yang bersolat di masjid itu, malam kelmarin dan dipercayai dilakukan suspek berbeza.

Sebak lihat al-Quran berselerak

Seorang Ahli Jawatankuasa Masjid Limbongan, di sini, sebak sebaik sahaja melihat al-Quran yang sengaja dibuang ke dalam mangkuk tandas lelaki, selain ratusan lagi diselerakkan di dalam dan dibuang ke luar masjid.

Bendahari Masjid Limbongan, Che Rawi Rahim berkata, dia yang juga Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Limbongan terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian kira-kira 2.30 pagi semalam.

Menurutnya, sebaik sampai di pekarangan masjid, dia mendapati terdapat al-Quran berada di atas jalan depan tangga masjid, serta lima al-Quran dalam mangkuk tandas lelaki, atas singki tandas dan tempat berwuduk.

“Ada al-Quran yang sengaja dibuka halamannya dan dimasukkan ke dalam mangkuk tandas. Sementara, sejumlah Yasin dibuang ke dalam tong sampah di depan tangga utama masjid, dalam kolah tempat berwuduk dan atas tanah,” katanya.

Menurut Che Rawi lagi, individu tidak bertanggungjawab dipercayai masuk terlebih dahulu ke dalam masjid selepas memecahkan cermin pintu bahagian dalam masjid, sebelum mengambil al-Quran dan Yasin untuk dibuang di sekeliling masjid.


Sinar harian Online

No comments:

Post a Comment