21 April 2013

BN pecat ahli khianati parti

Surat pemecatan calon tanding Bebas dikeluarkan esok: Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) lebih rela memecat mereka yang mengkhianati parti dengan bertanding sebagai calon Bebas daripada terpaksa mengorbankan parti. 

“Keputusan memecat mereka bukan salah kita dan yang penting kita kena jaga parti. Jika ada satu atau dua yang terpaksa kita korbankan, ia lebih baik daripada kita korbankan parti yang dikasihi. 

Ini ketetapan parti yang mana sesiapa yang bertanding Bebas tidak boleh kekal sebagai ahli kerana disiplin parti lebih penting daripada cita-cita peribadi” Najib Razak, Presiden UMNO

Ketetapan parti

“Ini ketetapan parti yang mana sesiapa yang bertanding Bebas tidak boleh kekal sebagai ahli kerana disiplin parti lebih penting daripada cita-cita peribadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Calon BN Parlimen Pekan serta jentera parti, di pekarangan kediamannya, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, surat pemecatan ahli BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan dikeluarkan esok.

Beliau menegaskan tindakan itu diambil kerana mereka tidak mematuhi disiplin parti dengan mengutamakan kepentingan peribadi. 

Beliau merujuk kepada tindakan tiga pemimpin kanan parti bertanding calon Bebas, termasuk Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar dan penyandang kerusi Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

Keahlian Kamilia gugur serta-merta

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, keahlian Kamilia gugur serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas untuk Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau yang dukacita dengan tindakan Kamalia itu, berkata ia tidak sepatutnya dilakukan seorang ahli kanan dalam parti.

Beliau berkata, keputusan itu amat mengecewakan, apatah lagi Kamilia memegang jawatan kedua tertinggi dalam Wanita UMNO, yang seharusnya menjadi contoh kepada ahli lain.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment