31 March 2014

Pencarian MH370 tetap diteruskan-Abbott




PERTH 31 Mac - Perdana Menteri, Tony Abbot berikrar pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diteruskan walaupun tindakan tersebut mengalami kesukaran.

Abbott berkata, usaha mencari akan diteruskan walaupun tiada serpihan ditemui di Lautan Hindi sejak lebih tiga minggu.

"Keadaan masih terlalu awal untuk mengurangkan usaha mencari," katanya. - Reuters/Agensi


Dimana MH370?dalam Operasi SAR Objek ditemui disahkan sampah


SYDNEY 30 Mac - Beberapa objek yang ditemukan di Lautan Hindi disahkan bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, objek terbabit yang dipungut oleh kapal China dan Australia dikenal pasti sebagai peralatan untuk menangkap ikan atau sampah.

Bagaimanapun, AMSA tidak menyatakan jumlah atau lokasi tepat objek berkenaan ditemukan.
Sementara itu menurut AMSA, operasi mencari pesawat MH370 yang memasuki hari ke-23 hari ini memberi fokus di kawasan seluas kira-kira 319,000 kilometer (km) persegi berpandukan hasil analisis lebih terperinci para penyiasat nahas kapal terbang.

Katanya, mengikut perancangan, 10 buah pesawat terlibat dalam gerakan mencari di kawasan kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth.

Lembaga itu juga berkata, semua kapal di kawasan mencari ditugaskan mengesan dan mengenal pasti objek yang dilihat pesawat sejak dua hari lalu.

"Cuaca di kawasan mencari diramal menjadi lebih buruk hari ini dengan hujan renyai dan awan rendah tetapi operasi mencari dijangka diteruskan," katanya.
Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 239 penumpang hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Menurut AMSA, pesawat yang mengambil bahagian hari ini adalah dari Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika dan Malaysia serta sebuah jet awam yang bertindak sebagai penyelaras komunikasi.

Kapal Australia HMAS Success, kapal Pentadbiran Keselamatan Maritim China Haixun 01, kapal Biro Penyelamat China Nan Hai Jiu dan kapal tentera laut China Jinggang Shan tiba di kawasan mencari semalam.

"Enam lagi kapal akan tiba di kawasan itu hari ini," kata kenyataan itu.
Katanya, kapal frigat kelas ANZAC HMAS Toowoomba meninggalkan Perth petang semalam dan dijangka tiba di kawasan mencari dalam masa tiga hari.

"Kapal ADV Ocean Shield pula dijadual berlayar dari Perth lewat hari ini setelah dipasang alat pengesan kotak hitam dan kenderaan bawah air," kata AMSA. - DPA, BERNAMA


21 March 2014

MH370: Kapal Norway sudah tiba, misi SAR hanya boleh bermula pada Jumaat

Adakah teka-teki kehilangan Pesawat MH370 bakal terjawab? 

KUALA LUMPUR: Sebuah kapal milik Norway telah tiba di kawasan lautan Hindi berhampiran Australia di mana dua objek terapung dipercayai dapat membantu membantu siasatan mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu

Menurut laporan Reuters, kapal berkenaan menghala ke Madagascar dari Melbourne namun mendapat permintaan dari pihak berkuasa Australia untuk membantu misi mencara objek yang dijumpai melalui satelit empat hari lepas.

“Kami menerima permintaan dari pihak berkuasa Australia untuk menyiasat kawasan berkenaan. Kami akan membantu selagi diperlukan,”

"Kapal kami sahaja yang sudah sampai. Kapal Australia dijangka tiba dalam masa 12 hingga 18 jam," kata Kristian Olsen, jurucakap Hoegh Autoliners.

Norway

Tambah beliau, oleh kerana ia sudah malam, krew kapal agak terhad untuk melakukan sebarang carian.



"Kami akan teruskan misi pencarian esok pagi," tambahnya pada sidang media khas. Cuaca mendung dan jarak penglihatan terhad menjejaskan operasi Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Semetara itu, pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata penemuan dua objek oleh satelit Australia boleh dipercayai namun ia masih belum dapat disahkan.

ASTRO AWANI


19 March 2014

MH370: Penduduk Maldives Dilaporkan Lihat 'Pesawat Jumbo Terbang Rendah' Pada 8 Mac


PETALING JAYA: Penduduk Kuda Huvadhoo di Dhaal Atoll di Maldives dilaporkan melihat sebuah "pesawat jumbo terbang rendah" di atas rumah mereka pada awal pagi 8 Mac, hari yang sama Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang.

Dalam satu akhbar harian Maldives iaitu Haveeru, penduduk menjelaskan bahawa pesawat itu terbang di Kuda Huvadhoo kira-kira pukul 6.15 pagi dengan menggambarkan ia berwarna putih dengan jalur merah.

Skim warna itu adalah hampir sama dengan yang digunakan oleh pesawat Malaysia Airlines termasuk Boeing 777 untuk penerbangan MH370.

Saksi-saksi yang melihat pesawat itu bersetuju bahawa ia membuat penerbangan dari utara sehingga ke tenggara ke arah Addu, di selatan Maldives, dan kesemua mereka memberi komen mengenai bunyi kuat dari pesawat itu apabila terbang melintasi pulau itu.

Paparan laman web Haveeru Online yang melaporkan mengenai penduduk Maldives melihat 'pesawat jumbo terbang rendah'.
Salah seorang saksi dapat melihat pintu pesawat dengan jelas, malah ia turut dipersetuji oleh seorang saksi lain.

"Ada yang keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang menyebabkan bunyi bising yang kuat," kata saksi, dan dilaporkan bahawa Anggota Majlis pulau itu, Mohamed Zaheem mengatakan bahawa penduduk lain di Kuda Huvadhoo turut bercakap mengenai kejadian itu.

Haveeru turut memetik seorang pakar penerbangan tempatan, yang berkata ia mungkin pesawat MH370 yang diterbangkan sehingga ke Maldives, sambil menambah bahawa kemungkinan sebarang pesawat terbang di atas pulau itu adalah sangat rendah.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal , berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing pada 8 Mac, mendapat perhatian antarabangsa sejak kehilangannya pada awal pagi hari yang sama.

- Mstar.com.my

Motosikal dari tulang haiwan

Kita tidak pernah dengar dan tidak pernah melihatnya, apatah lagi menunggangnya. Diberi nama Cowasaki itulah nama yang menjadi pihan bagi replika motosikal yang dicpta dari tulang binatang.
Florida: “Cowasaki” bukanlah kesilapan ejaan pada bagi satu nama pengeluar motosikal sebaliknya ia nama yang diberikan bagi replika motosikal yang dibuat dari tulang binatang.
Reese Moore, 65, dari Orange City mempunyai kemahiran unik menggunakan tulang binatang untuk membina replika motosikal selama lebih 10 tahun.
Rekaan terbarunya yang di beri nama Cowasaki akan mula dipamerkan di bilik pameran Ormond Beach sebagai sebahagian daripada Minggu Motosikal 2014

Replika bernilai AS$ 55,000 (RM 180,372) itu dibuat daripada tengkorak lembu, tulang buaya, rakun dan khinzir.
Foto
REPLIKA motosikal yang diperbuat daripada tulang haiwan.

“Saya suka menggunakan tulang dalam hasil kerja saya,” kata Reese.
Lelaki itu tidak pernah menunggang motosikal apatah lagi motosikal yang dibinanya kerana ia hanya replika dan bukan untuk digunakan.

Dia mula membina replika motosikal itu apabila dia cuba melakukan sesuatu yang hebat untuk anaknya pada hari Halloween dengan membuat replika dinosaur dari tulang binatang. 

Apabila rakannya meminta dia membuatkan satu untuknya, dia membuat sesuatu yang lebih baik.

“Pada mulanya saya cuma bergurau dengan mengatakan saya akan membuat motosikal untuk Minggu Motosikal, dan saya anggap itu sebagai satu cabaran buat saya,” katanya. Dalam kira-kira tiga atau empat hari kemudian saya menghubunginya untuk memberitahu ia sudah siap,” katanya.

Rekaan terbaru Reese itu kini dipamerkan untuk jualan di Dunn's Attic & Auction House. - Agensi

18 March 2014

Debaran STPM, SPM

KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan esok, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 Khamis ini.
Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos. 
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas dilaporkan telah hadir menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT dan menghantarnya ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada hari sama untuk semakan keputusan peperiksaan.
Menurut Khawari, persidangan akhbar mengenai analisis keputusan STPM 2013 akan diadakan setengah jam sebelum keputusan diedarkan kepada calon pada hari sama di Auditorium, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor. 

Sementara bagi calon SPM, mereka boleh mendapatkan keputusan pada Khamis ini bermula 10 pagi di sekolah masing-masing. 

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata seramai 470,395 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara. 

Semakan keputusan SPM juga boleh dibuat melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM dan hantar ke 15888. Perkhidmatan disediakan KPM itu diaktifkan mulai 10 pagi Khamis dan ditamatkan pada 11.59 malam 26 Mac. 

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2013 akan diadakan 9 pagi Khamis di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Parcel E, Putrajaya. - Bernama

PRK Kajang, Balingian sepi, semuram insiden MH370

SUASANA pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sepi selepas Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana kes liwatnya. Kalau tidak, 'panas' dibuatnya.
Di Balingian, Mukah juga demikian juga. Senario menjelang PRK di situ juga sunyi. Tidak ada sebarang isu setempat di bekas kawasan Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu. Ia kerusi tradisi BN, kata orang tempatan.

Pada hari penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah semalam tidak ada sepanduk, poster dan bendera dinaikkan. Pengalaman beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang ada di situ, kata mereka, esok dan lusa naiklah bahan-bahan kempen itu. Itupun secara berperingkat-peringkat. Bahang pilihan raya kecil di Balingian tidak tampak secara fizikal. Mungkin kalau diadakan di bandar, meriah namun Balingian yang dikategorikan kawasan luar bandar, tidak ketara kehangatannya.

Lebih kurang sama dengan Balingian, di Kajang juga tidak ternampak agresif kempen PRKnya yang telah masuk hari ketujuh. Keadaan ini disebabkan sebahagian besar pengundi Kajang berkongsi perasaan sama dengan seluruh rakyat Malaysia dan merata dunia terhadap kehilangan pesawat MH370. Kalau adapun isu yang dilagukan pakatan pembangkang di pentas ceramah di Kajang dalam seminggu ini hanyalah berkisar dakwaan kononnya Anwar 'teraniaya'. Malahan, calon PKR di situ, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bukanlah sangat orang politik. Dari segi ketaatan seorang isteri, dia terpaksa menggantikan Anwar untuk bertanding. Namun, peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di Kajang yang menampilkan calonnya, Datin Paduka Chew Mei Fun masih 30 peratus. Underdog. Melainkan, suatu keajaiban yang disertai kerja keras jitu yang mana jentera mesti berkempen habis-habisan. Bukan sekadar menjadikan Kajang tempat berkumpul. Hakikat besar yang perlu dilepasi adalah 

memperhebatkan aktiviti di pusat-pusat daerah mengundi (PDM) yang kebiasaannya tidak banyak bergerak. Tetapi apabila melibatkan acara-acara rasmi Perdana Menteri atau menteri terlibat, ketara pula kelibat mereka yang berkenaan. Kempen secara mikro di seluruh PDM, 
baik di Kajang dan Balingian, perlu difokuskan kepada pertemuan bersemuka dalam kumpulan kecil.

Dan kalau diambil kira peratusan pengundi di Kajang, separuh daripadanya adalah wanita yang mewakili hampir 20,000 pengundi (50.09 peratus). Justeru, wanita BN perlu digerakkan 

secara agresif bergabung dengan Puteri UMNO dan Puteri MIC untuk meraih sokongan. Bagi menarik golongan belia pula, wujudkan unit kesukarelaan. Bukannya terlalu menumpukan kepada 'belia mat motor', yang hiruk-pikuk dicetuskan mereka semasa kempen boleh 

menyebabkan orang lain menyampah. Tumpukan kepada belia yang pergi ke masjid misalnya.
Pelbagaikan taktik berkempen dan pokoknya, jentera parti pemerintah mesti bekerja keras, meskipun Balingian terutamanya, merupakan kubu kuat BN.

Apa pun, suasana PRK di DUN Kajang dan Balingian sepi. Tidak seperti PRK Sungai Limau dan Kuala Besut tempoh hari.

Muram - sesepi hati seluruh rakyat Malaysia yang sedang menanti penuh debar akan nasib 239 penumpang MH370.