4 January 2014

Pegawai kerajaan dilarang merokok!!


BEIJING - Pegawai kerajaan China dilarang daripada merokok di tempat awam dalam usaha kerajaan republik itu mengurangkan pengeluaran dan penggunaan bahan tembakau.

Menurut pekeliling kerajaan, semua warga sektor awamnya tidak dibenarkan merokok di sekolah, hospital, venue sukan, pengangkutan awam atau kawasan lain yang diharamkan merokok, lapor agensi berita Xinhua hari ini.

Peraturan baharu itu juga melarang penggunaan dana awam untuk membeli rokok dan menawarkan rokok ketika menjalankan tugas-tugas rasmi.

China mempunyai lebih 300 juta perokok dan merupakan pengeluar serta pengguna rokok terbesar dunia.

Pada 2003, republik itu menandatangani Konvensyen Rangka Kerja bagi Pengawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC) yang memerlukan China mengurangkan pembekalan dan penggunaan tembakau, berkuat kuasa 2006. - Bernama

3 January 2014

Sentuh lembu dapat anak lelaki?

Sentuh lembu dapat anak lelaki

RAIPUR - INDIA. Puluhan wanita membanjiri pekarangan rumah seorang petani hanya untuk menyentuh kuku seekor lembu berkaki lima.

Mereka yang percaya dengan amalan karut itu mendakwa, pasangan suami isteri akan mendapat cahaya mata lelaki sekiranya berbuat demikian.

Pemilik lembu berkenaan Raj Pratap mendakwa, kehadiran lembu ‘keramat’ itu telah mengubah nasib ramai pasangan yang menginginkan kehadiran anak lelaki dalam setiap keluarga.

“Seorang wanita yang sebelum ini mempunyai empat anak perempuan akhirnya melahirkan bayi kembar lelaki dengan hanya meminta restu dengan menyentuh kuku anak lembu yang kami gelar sebagai 'Raju'," katanya.

Menurutnya, setiap wanita perlu membayar 500 rupee (RM27) untuk sekali sentuhan.  

“Kami sanggup memulangkan semula wang mereka jika mereka gagal mendapatkan bayi lelaki,” katanya.

Beliau mendakwa, lebih 30 wanita mendapat cahaya mata lelaki selepas menyentuh lembu istimewa itu. - Dailymail

2 January 2014

Pencuri kabel dibelasah


Gambar Hiasan

BESUT - Dua pencuri kabel cedera ketika cuba melepaskan diri sebelum berjaya ditangkap orang ramai dalam dua kes berasingan, di Taman Ilmu, Tembila dan di Kampung Beris Pak Abu, Kuala Besut, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 5 petang di Tembila, seorang lelaki berusia lewat 20an berjaya ditangkap penduduk kampung ketika mencuri kabel elektrik di tapak pembinaan Taman Ilmu.

Menurutnya, suspek pertama yang beralamat di Kampung Guntung, Tembila dikesan cuba mencuri kabel oleh pengawal keselamatan yang membuat rondaan di tapak pembinaan itu.

“Suspek cuba melarikan diri apabila menyedari perbuatannya dilihat pengawal namun, berjaya ditangkap orang ramai selepas dibelasah kerana melawan dan diserahkan kepada polis.

“Pihak polis telah hantar suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas sepotong kabel elektrik sepanjang kira-kira empat meter yang dipercayai telah dipotong suspek untuk dicuri.

“Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencuri kabel tersebut kerana bekalan elektrik masih belum berfungsi,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Nangka, Kuala Besut cedera ringan setelah dibelasah orang ramai kerana disyaki mencuri kabel di Stesen Pemancar telefon mudah alih Gong Kedak dekat Beris Pak Abu.

Kejadian itu telah dikesan terlebih dahulu oleh juruteknik syarikat telekomunikasi itu sebelum menghubungi penduduk kampung agar menyiasat punca sebenar stesen tersebut tidak berfungsi pada jam 9.50 malam.

Katanya, pada jam 10.10 malam, penduduk kampung berjaya menahan suspek ketika berada di dalam kabin stesen tersebut, dipercayai sedang mencuri kabel di situ sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Suspek cedera di badan kerana dipukul orang ramai ketika usaha memberkasnya dilakukan, manakala kerugian yang dilaporkan dianggarkan RM3,000,” katanya.

Sinar Harian
Guna 2 jari kaki timba ilmu

Kurang upaya bukan halang untuk menimb ilmu. BPO kagum dengan adik ini, walaupun kurang upaya, namun itu bukan penghalang untuk menimba ilmu.

Kuala Berang: Biarpun terpaksa menulis menggunakan hanya dua jari kaki sambil berbaring di atas lantai beralaskan tikar, semangat kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), Nur Damia Irsalina Daeng Malis, untuk menimba ilmu setanding rakan sebayanya yang normal tidak luntur.

Semangat tinggi Nur Damia Irsalina, 7, yang memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong (SKKT) di sini, dikesan ibu bapanya apabila dia mencuba-cuba pakaian sekolahnya dan berlatih menulis di rumah sebelum sesi persekolahan. 

Nur Damia dari Kampung Lubuk Batu di sini, kudung dua tangan dan dua kaki. Hanya kaki kanan mempunyai tiga jari yang membolehkan kanak-kanak itu menulis dan melakukan aktiviti seharian. 


Ketika ini, Nur Damia bergerak menggunakan kerusi roda elektronik dan dia dihantar ke sekolah oleh bapanya, Dr Daing Malis Abd Kahar, 43, dan ibu, Rosnaini Mohamad, 35, yang tidak pernah berputus asa memberi semangat dan sokongan kepadanya.


Seronok masuk sekolah 

“Saya seronok masuk ke sekolah hari ini (semalam). Saya mahu belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang menjadikan pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vujicic, yang senasib dengannya sebagai idola.
“Sebagai ibu saya sangat gembira melihat semangat di rinya. Dia tidak pernah menjadikan kecacatan diri sebagai penghalang untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Rosnaini yang kini sibuk mencari pembantu untuk menjaga anaknya di sekolah berkata, buat masa ini beliau berhenti kerja selama enam bulan, bagi memastikan anaknya itu dapat menjalani sesi pembelajaran dengan sempurna.

“Buat masa ini Nur Damia Irsalina menggunakan kerusi roda elektronik bagi memudahkan pergerakannya di sekolah. Pada hari pertama sekolah, saya lihat guru dan rakan sekelasnya banyak membantu,” katanya.

Di Bachok, Kelantan, keletah empat murid kembar ditempatkan dalam satu kelas sama di Tahun Satu Berlian, mencuri tumpuan ramai dan menceriakan suasana pada hari pertama sesi persekolahan baru 2014 di Sekolah Kebangsaan (SK)Tawang. 

Empat murid terbabit ialah pasangan kembar seiras, Fadhil Atif dan Fadhil Akif Mohd Fadli serta kembar tidak seiras Amniya Darwisha dan abangnya Adib Ataullah Azlin, masing-masing berusia tujuh tahun.

Guru Besar SK Tawang, Mazlan Mat, berkata sekolahnya memang pernah menerima pendaftaran murid kembar, namun tahun ini lebih meriah kerana terdapat dua pasangan kembar serentak.

“Kami terpaksa letakkan empat murid itu di kelas sama kerana mereka enggan berpisah dengan saudara masing-masing.

“Bagaimanapun, kehadiran dua pasangan kembar itu bukan hanya menambahkan keceriaan, malah meningkatkan motivasi semua guru untuk melakukan terbaik untuk membantu mereka menguasai mata pelajaran diajar di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Sumber

Isu kalimah: Pengarang Herald dituntut mohon maaf

Isu kalimah: Pengarang Herald dituntut mohon maaf


Shah Alam: Tindakan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew, yang bertegas
mahu menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya, mendapat bantahan pelbagai pihak.

Semalam saja berpuluh laporan polis dibuat di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur terhadap Andrew.

Selangor, UMNO Bahagian Shah Alam, Klang, Kapar, Kota Raja, Tanjung Karang dan Sabak Bernam membuat laporan terhadap Andrew, menuntutnya memohon maaf selain mahu tindakan dikenakan terhadapnya.Laporan polis yang dibuat serentak di sini, semalam, turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 




Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari, berkata pendirian pemimpin gereja itu dilihat seolah-olah satu penderhakaan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sultan Selangor menitahkan supaya semua rakyat di Selangor akur dengan larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sehubungan itu, pergerakan berkenaan memberi tempoh empat hari untuk Andrew menarik balik kenyataannya.
Lebih 50 ahli dan pimpinan UMNO Bahagian Klang diketuai Datuk Nasarruddin M Zin, membuat laporan di IPD Klang Selatan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Syuhaidi Surani, yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Kapar, menyifatkan kenyataan paderi itu biadab serta menderhaka kepada Sultan Selangor.

Di Tanjung Karang, kira-kira 300 ahli Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tanjung Karang serta NGO berkumpul secara aman sebelum membuat laporan polis.

Seramai 100 pemimpin akar umbi di Sabak Bernam, membuat laporan polis di IPD Sabak Bernam.

Pemuda UMNO Putrajaya, Sepang, Bukit Bintang, Puchong dan Serdang yang turut membuat laporan polis di IPD Putrajaya, juga mengecam tindakan PAS yang hanya berdiam diri dalam isu itu walaupun mendakwa memperjuangkan Islam.


Selar tindakan PAS

EXCO Pemuda UMNO, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos, berkata tindakan PAS itu seolah-olah menunjukkan mereka bersetuju jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Andrew bahawa gereja Katolik di Selangor akan menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu.

Di Petaling Jaya, UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) bersama empat NGO memberi tempoh tujuh hari kepada Andrew menarik balik kenyataannya atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketuanya, Raja Datuk Hanipuddin Raja Nong Chik yang mengetuai kumpulan itu berkata, mereka membuat sembilan laporan polis berikutan tindakan Andrew yang melampau dan menderhaka kepada Sultan Selangor.

Mahu dakwa Andrew

“Sekiranya paderi itu enggan menarik balik kenyataannya, kami akan mendakwa beliau di mahkamah,” katanya selepas membuat laporan di IPD Petaling Jaya.

Empat lagi laporan polis dibuat Yang Dipertua Persatuan Penduduk Blok B, Pangsapuri Permai PJS 15, Damiri Majidah; Persatuan Profesional dan Komuniti Penggerak Warisan Melayu (PROGERAK), Feruddin Emir Moehamad Izat Emir; Pengerusi Persatuan Belia PJS, Shahrul Hisham Sulaiman dan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) PJS, Dazma Shah Daut.

UMNO Bahagian Subang turut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail, berkata kenyataan Andrew jelas menghina mahkamah kerana Gereja Roman Katolik sendiri sudah memfailkan kebenaran untuk merayu kes ke Mahkamah Persekutuan berhubung kes berkenaan.

BERITA HARIAN

1 January 2014

Gambar penyamu yang mengaku memukul dan merompak Mak Cik Yam

Mengaku pukul Mek Yam

Mohd Ashraf Osman, 21, dari Jerteh, Besut, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah telah melakukan rompakan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Mek Yam Awang Ya, 68, di sebuah rumah di Felda Tenang, Besut.

Dia yang juga seorang buruh itu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu pada 14 Disember lalu, kira-kira jam 1 pagi.

Mengikut pertuduhan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda atau sebatan.

SUMBER

Mangsa dirogol dan diliwat oleh saudara sendiri

KAMPUNG RAJA – Seorang remaja perempuan lepasan SPM mendakwa dirogol dan diliwat saudara yang juga teman lelakinya dalam sebuah rumah kosong di Bukit Keluang, di sini, lebih dua tahun lalu.

Kejadian dikatakan bermula ketika mangsa yang kini berusia 17 tahun, dibawa saudara dua pupunya itu ke rumah tersebut dengan menaiki motosikal pada hari ketiga Aidiladha 2011.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian itu didakwa berlaku ketika mangsa berusia 15 tahun, manakala suspek yang kini penuntut sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur berusia 26 tahun.

Menurutnya, mangsa mendakwa sebaik tiba di rumah kosong itu, suspek bertindak merogol dan meliwatnya dengan paksaan, malah suspek turut menampar mangsa.

“Kata mangsa, kali terakhir mereka melakukan hubungan seks pada Oktober lalu di rumahnya di Kuantan, Pahang.

“Pada Khamis lalu, mangsa tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian pertama kerana mendakwa suspek enggan bertanggungjawab selain mengugut sekiranya mangsa melaporkan hal berkenaan kepada keluarga,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudiannya dihantar menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan dan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Menurutnya, polis sedang memburu suspek yang kini berusia 28 tahun beralamat di Kampung Keluang, di sini dan kes disiasat Inspektor Azira Md Razak di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.


Sinar Harian