21 August 2014

Biadap, Bodoh, gila ke ape Kencing Al-Quran selepas mencuri


Che Ahmad menunjukkan al-Quran yang dipercayai dikencing oleh suspek di rumahnya di Renek.

RENEK, BESUT -  Seorang pencuri dikatakan bertindak biadab apabila bukan sahaja melarikan barang berharga di rumah mangsanya tetapi dipercayai turut kencing pada senaskhah al-Quran di dalam rumah mangsa dalam kejadian di Kampung Renek, dekat Jabi, kelmarin.

Mangsa, Che Ahmad Che Will, 52, berkata, dia menyedari rumahnya dipecah masuk apabila pulang dari Kuala Lumpur bersama isteri dan seorang anaknya kira-kira jam 7 petang kelmarin.

Menurutnya, dia sekeluarga meninggalkan rumah pada Jumaat lalu dan terkejut sebaik tiba petang kelmarin apabila mendapati keadaan dalam rumah berselerak dan pintu bilik bahagian dapur terbuka luas.

“Setelah pemeriksaan dibuat saya dapati seunit televisyen bersaiz 31 inci dan satu tabung duit milik anak saya yang mengandungi wang kira-kira RM100 telah hilang.

“Saya syak pencuri pecah masuk ke dalam rumah ketika tiada di rumah dan saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih mengenai kehilangan dua barang tersebut,” katanya.

Che Ahmad berkata lagi, selepas pulang membuat laporan polis, dia sekeluarga terhidu bau hancing air kencing yang semakin kuat baunya pada sebelah malam.

Menurutnya, selepas diperiksa arah dan tempat bau hancing tersebut, dia dapati bau itu datang dari satu rak menempatkan buku termasuk senaskhah al-Quran yang terdapat di dalam bilik anak perempuannya.

“Kami percaya salah seorang daripada suspek telah membuang air kecil di rak buku tersebut menyebabkan ia terkena pada al-Quran berdasarkan terdapat kesan air kencing di situ.

“Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada suspek sengaja kencing pada al-Quran itu atau sebalik,” katanya.

Sumber Sinar Harian

20 August 2014

TAKZIAH ADUN PENGKALAN KUBOR MENINGGAL DUNIA.


Zahidi Omar

Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser

Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan meninggal di Ghuangzhou, China  ketika mendapat rawatan.

Anak sulung Allahyarham, Megat Ikram Datuk Noor Zahidi, 32, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jenazah akan di bawa ke kampung halamannya di Pasir Pekan, Tumpat hari ini.

Pada PRU13 lalu, Noor Zahidi menang besar dengan majoriti 1,763 undi walaupun pilihan raya itu berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary Ismail Bukhary dari Bebas.

Allahyarham menyandang Adun Pengkalan Kubor sejak 2004 berjaya mempertahankan kerusi Umno selama tiga penggal berturut-turut.

Al-Fatihah.

5 August 2014

Jabi Bakal Hab Sate Terengganu

Pekan Jabi bakal menjadi hab Sate di Terengganu apabila gabungan pengusaha sate di kawasan tersebut di bawah satu jenama, menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, setakat ini urusan dan usaha ke arah pergabungan beberapa pengusaha sate di pekan Jabi hampir 70 peratus selesai.

Menurutnya, proses itu membabitkan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) untuk memastikan sate bakal menjadi ikon Dun Jabi.

“Apabila menjadi kenyataan kelak, akan wujud gabungan di bawah satu jenama, imej dan perkhidmatan,” katanya.

Kata Mohd Iskandar lagi, maklum balas daripada pengusaha sudah diperoleh termasuk membincangkan mengenai tiga perkara utama iaitu imej, jenama dan menyelaraskan harga yang boleh dinikmati pelanggan.
Menurutnya, reka bentuk baharu akan diadakan supaya premis dan kemudahan lain yang disediakan pengusaha, menarik serta memberi keselesaan kepada pengunjung.

“YPUT akan bantu bina imej pengusaha sate dengan peruntukan antara RM5,000 hingga RM8,000 supaya sate Jabi akan menjadi satu lagi tarikan ke Besut dan Setiu.

“Bila selesai, semua pengusaha akan menggunakan satu jenama sahaja iaitu Sate Jabi, tetapi nama pemilik kekal, malah kita mempunyai sasaran agar Sate Jabi dapat dipasarkan ke luar termasuk di calet, resort, hotel dan pengusaha makanan lain dengan pakej perkhidmatan yang standard,” katanya.

Sumber