10 July 2014

Gugurnya sekuntum bunga tanjung

Di kala Aidilfitri akan bertandang tidak lama lagi, lagu seperti Hari Yang Mulia, Suasana Hari Raya serta Nostalgia Aidilfitri dendangan asal Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar pasti menjadi pilihan pendengar.
Namun, kini semuanya tinggal kenangan apabila penghibur ternama itu akhirnya menyahut panggilan Ilahi pada Sabtu lalu di Pusat Rawatan Pakar Damansara, Petaling Jaya akibat penyakit komplikasi fibrosis paru-paru yang dideritai hampir dua tahun.
Bahkan, Allahyarham juga turut disahkan doktor menghidap dan menderita virus Influenza A (H1N1) sejak beberapa lama selepas dijangkiti daripada seorang teman yang dibawa kenalannya ketika menghadiri satu majlis di kediaman arwah di Petaling Jaya. 

Ternyata pemergian buat selama-lamanya Sharifah Aini atau mesra dengan sapaan Kak Pah itu satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air yang tiada galang gantinya. Allahyarham adalah bintang tersohor yang mampu bertahan dalam industri selama 45 tahun.
Dilahirkan di Nee Soon, Singapura tanggal 2 Julai 1953 hasil perkongsian hidup ibunya Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas bersama Syed Jaafar Syed Sahil.

Bagaimanapun, pada ketika Allahyarham berusia lapan bulan, arwah dijaga dan dibesarkan oleh pasangan datuk, Syed Sahil Syed Ali Al-Jurfry serta neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir di Kampung Majidee, Johor Bahru. 

Pun begitu, bakat penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab yang terkenal dengan sebutan ‘idgham’ itu dicungkil menerusi pertandingan Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1968 dengan lagu Tiga Malam.

Pernah mendapat gelaran Superstar pada puncak kegemilangan sekitar 1970-an, anak seni yang berbakat menyanyikan apa saja lagu dalam pelbagai genre ini turut menerima pelbagai jolokan seperti Elizabeth Taylor Malaysia dan Diana Ross Malaysia.

Turut diingati peminat dengan kejelitaannya yang kaya dengan ‘tahi lalat’ di wajah, Allahyarham juga cukup terkenal dengan barisan lagu popular seperti Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam, Terbang Helang, Mawar Putih Untuk Mama, Teratai dan Burung Pungguk.

Tidak ketinggalan pada 1976 pula Allahyarham turut menceburi dunia lakonan dengan membintangi filem Hapuslah Airmatamu pada 1976, diikuti filem Sumber Ilhamku dan Superstar Bintang Pujaan, selain kemunculan khas dalam Diva Popular dan Penanggal, tahun lalu

Pun begitu, pencapaian Allahyarham dalam industri muzik tanah air cukup cemerlang apabila pernah menghasilkan kira-kira 135 album, termasuk 7 album bahasa Inggeris. 

Selain memiliki jutaan peminatnya tersendiri daripada pelbagai kaum dan usia termasuklah golongan istana hingga ke marhain, Allahyarham juga menjadi artis paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman iaitu EMI Malaysia dan pernah membuat persembahan di rantau Asia seperti Jepun, Dubai, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia. 

Turut mencipta nama dalam Malaysia Book of Records kerana mampu bertahan di bawah naungan EMI Music, pada sekitar 2006 Allahyarham meraih gelaran Biduanita Negara yang melonjakkan nama dan sumba–ngan seninya sehebat Allahyarham Puan Sri Saloma. 

Memiliki seorang cahaya mata, Aliff Omar Ali, 32, hasil daripada perkahwinan pertamanya dengan Ali Bakar pada 1981. Sebagai seorang ibu yang menyanyi, memahami dan menyokong kehendak anak tunggalnya untuk mendalami agama, Allahyarham cukup cekal perlu berjauhan dengan permata hatinya selama 11 tahun.

Berkat Ramadan yang mulia ini juga, arwah sempat dua minggu bermanja dan mengubat rindu dengan Aliff apabila anak tunggalnya itu pulang ke Malaysia selama tiga bulan kerana bercuti untuk meraikan Ramadan disusuli Aidilfitri tidak lama lagi. 

Turut mendapat peluang dijaga dengan penuh perhatian oleh anak tersayang sepanjang keadaan kesihatannya yang merosot di hospital, seorang lagi individu penting yang setia berada di sisi Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir ialah ibunya, Sharifah Noor, 80. 

Allahyarham ketika hayatnya seorang yang sangat pemurah, penyayang dan pemaaf. Malah sering membuat persembahan amal tanpa bayaran. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Amin.
MyMetro

8 July 2014

Hot!! Rakaman Visual 'Toyol'

PETALING JAYA -  Tiga kali premis dipecah masuk membuatkan seorang pemilik kedai runcit di Kampung Sungai Kayu Ara memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Huzaifah Mohd Yatim, 25, terkejut selepas CCTV itu berjaya merakam visual seorang kanak-kanak sedang menggeledah barangan  dan mencuri wang yang disimpan dalam kedai jam 2.50 pagi 20 Jun lalu.  

“Kanak-kanak itu mengaku  masuk ke dalam kedai melalui lubang kecil celah dinding papan kedai yang reput,” katanya.




Menurutnya, perangkap itu sengaja dibuat bagi mengesan pencuri yang menjadi buah mulut penduduk kampung itu selama ini.
 
“Saya kerugian besar selepas kedai dipecah masuk. Malah selepas ditangkap budak itu masih cuba pecah masuk kedai saya,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, dia kerugian RM4,000 selepas rumahnya dimasuki akhir bulan lalu.

“Dompet yang mengandungi wang saya letak di dalam poket seluar yang digantung di dalam bilik lesap dan kejadian itu disedari ketika saya bangun waktu pagi.

“Anehnya tiada kesan rumah dipecah masuk, tapi ada saksi yang nampak kelibat kanak-kanak merayau di sekitar rumah saya pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Damansar
a.

Sinar Harian

7 July 2014

Kejamkah Ayah pukul anak hingga maut??

Lelaki yang dipercayai memukul anaknya, Mohamad Hafiz Abdul Ghani, 17, hingga maut dalam kejadian di Ka,ung Jawa, di sini, ditahan polis di Kampung Padang, di sini, 2.30 pagi ini.
Lelaki berusia 52 tahun itu kemudian ditahan di sebuah rumah sewa oleh sepasukan polis. 
Dari Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan. 

Lelaki itu dipercayai melarikan diri selepas memukul anak sulung daripada 10 beradik itu berikutan Mohamad Hafiz, mahu bekerja untuk membantu keluarga.
Dalam kejadian 5 petang Sabtu lalu, Muhamad Hafiz menyatakan hasrat mahu bekerja untuk membantu keluarga namun remaja itu maut dipukul oleh bapanya dengan kayu, dalam kejadian Kampung Jawa.

6 July 2014

Transformasi Terengganu Baharu



KUALA TERENGGANU 5 Julai - Selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman memperkenalkan pendekatan kepemimpinannya dalam urus tadbir negeri dengan berteraskan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Suatu pernyataan yang bukan sekadar slogan dan jenama, tetapi perkara itu mahu diterjemahkan bersama jentera kerajaan dan parti agar matlamat akhir benar-benar terarah, membawa lebih banyak kebaikan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Ini termasuk menilai semula pelbagai program dan projek besar yang bakal dan telah dilaksanakan apabila banyak keluh-kesah dan kebimbangan kedengaran selain meneruskan apa yang sememangnya melegakan di samping mengatur perancangan baharu dengan gerak padu.

TTB menjurus kepada amalan ‘Terengganu Terbersih’ dan kerja secara berpasukan dalam segala urusan dengan tiga aspek utama diberi penekanan iaitu tadbir urus yang baik, inklusif dan agama sebagai wadah penyatuan.

Dalam menghayati urus tadbir yang baik, Ahmad Razif tentunya mahukan barisan kepimpinan dan anggota perkhidmatan awam melayan dengan baik pelanggan mereka iaitu semua lapisan rakyat dan jangan menolak harapan terhadap pertolongan dan aduan yang dikemukakan.
"Ini kerana apa yang mungkin kecil dan remeh bagi kita, sebenarnya suatu yang besar dan cukup bermakna bagi orang lain dan harapan-harapan mereka itulah yang sewajarnya kita berusaha penuhi.

"Dalam membuat transformasi pentadbiran, kita perlu berhemah dan bijak. Saya telah beritahu pegawai-pegawai supaya jangan membuat sesuatu yang umum merasakan ia adalah satu tindakan yang tidak bijak dan boleh memberi tanggapan buruk," kata Ahmad Razif kepada pemberita di sini baru-baru ini.

"Terengganu digelar Darul Iman. Dalam konteks Darul Iman ini, konsep TTB dengan Terengganu Terbersih perlu diterapkan iaitu mesti melaksanakan pekerjaan secara telus (integriti), berpasukan dan berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat dengan jalan yang dituntut oleh agama," tambah beliau.

Katanya, pemimpin di semua peringkat dan penjawat awam perlu sentiasa peka dengan setiap denyut nadi dan hati nurani rakyat agar mereka dapat mengecapi kehidupan yang tenang dengan keadaan politik yang stabil, ekonomi yang berkembang pesat serta pendidikan yang baik untuk anak-anak.

Menurutnya, salah satu usaha yang diambil ialah dengan mewujudkan Pusat Transformasi Rakyat Terengganu (PUTRA) di Pejabat Menteri Besar bagi membolehkan aduan rakyat dapat disalurkan dengan lebih mudah dan cepat untuk ditangani.

"Ini selaras dengan pendekatan inklusif yakni rakyat keseluruhannya mempunyai ruang dan peluang terbuka untuk memperoleh perkhidmatan terbaik dan bukannya terhad kepada golongan tertentu sahaja,’’ ujar beliau.

Kerajaan negeri katanya, bersetuju menubuhkan sebuah pusat kajian melalui peranan universiti tempatan bagi mengenal pasti golongan miskin dan kurang berkemampuan yang berpotensi untuk dibantu memajukan diri dan keluarga melalui perniagaan.

Tambahnya, Pusat Transformasi Pendidikan diberi tumpuan agar agenda mengangkat kecemerlangan rakyat melalui pelaburan besar dalam prasarana ilmu dan modal insan akan berterusan.

Bagi bulan pertama, suatu permulaan yang menyakinkan bagi Ahmad Razif ketika beliau berusaha untuk meminimumkan pergeseran dalam parti dan mengajak pembangkang agar tidak menjadi seteru berpanjangan tetapi bersama berperanan ke arah kebaikan.

SUMBER