6 January 2014

Rumah Yang Dipertua Majlis Daerah Besut kena tembakan

JERTIH: Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Yang Dipertua Majlis Daerah Besut Ibrahim Mohamad, 56, di Kampung Gong Kemas Dalam, dekat sini kira-kira jam 6.15 pagi tadi.
Ketika kejadian mangsa bersama isteri dan seorang anak berada di dalam rumah mereka dan terdengar beberapa bunyi letupan. 
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian berkenaan disedari isteri mangsa ketika keluar membersihkan rumah jam 8.30 pagi selepas mendapati cermin kereta pecah dan menemui serpihan peluru. 
Menurutnya, wanita berkenaan kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat memaklumkan kejadian itu.
Katanya, siasatan polis mendapati dua das tembakan mengenai rumah mangsa dan empat das lagi mengenai kereta Mercedes Benz CLK 320 mangsa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 
myMetro

No comments:

Post a Comment