JERTIH - Seorang lelaki yang didakwa mencuri burung candik atau lebih dikenali dengan nama Merbah Jambul berjaya dicekup penduduk kampung Tok Motong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, lelaki berkenaan dikatakan mencuri burung candik itu yang diletakkan di dalam sangkar yang digantung di bahagian dapur rumah seorang penduduk.

Namun perbuatan itu disedari isteri pemilik burung berkenaan, lalu menjerit meminta pertolongan.

Difahamkan, empat hari sebelum itu seekor burung candik milik mangsa juga hilang dipercayai dicuri oleh lelaki yang sama.

Abang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Hussin, 53, berkata, dia yang mendengar jeritan adik iparnya itu segera keluar dari rumah yang kebetulan terletak berdekatan dan melihat suspek berlari ke arah semak untuk menyembunyikan diri.

“Kira-kira 9 malam, lelaki itu keluar dari semak dengan menunggang motosikal.

Saya dan penduduk kampung lantas menangkapnya.” katanya.

Menurutnya, lelaki yang berusia kira-kira 30-an itu pada mulanya memberi pelbagai helah untuk melepaskan diri tetapi selepas diperiksa, ternyata burung yang mencecah harga sekitar RM800 itu berada dalam bajunya.

“Penduduk kampung kemudian mengikat tangan lelaki itu dan diserah ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Sejak belakangan ini kejadian mencuri burung candik semakin menjadi-jadi.

Saya diberitahu sudah lebih 10 penduduk mendakwa burung candik mereka hilang disyaki dicuri,” katanya.

Difahamkan, harga seekor burung candik yang berkualiti kebiasaannya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Info

Merbah Jambul atau nama saintifiknya, Pycnonotus jocosus (Red Whiskered Bulbul) sangat popular kerana memiliki suara kicauan yang merdu sehingga sering diadakan pertandingan untuk mempertandingkan keindahan suara burung ini.

Sinar Harian