11 September 2013

Kerana Kecermelangan Idris Jusoh Wajar Diangkat Ke Jawatan Naib Presiden Umno

BPO sangat setuju dengan apa yang dicadangkan oleh rakan bloger rbfonline untuk mencadangkan DSIJ ke Jawatan Naib Pengerusi UMNO kerana kecermelangan dan idea genius DSIJ dalam UMNO dan rakyat Besut sendiri ketokohan belia mentadbir dan selaku ketua UMNO bahagian Besut yang bijak menyusun strategi untuk kemengan UMNO di Besut dan Terengganu.



Tinggal lebih kurang dua minggu lagi menjelang hari pendaftaran penamaan calon Pemilihan Umno 2013, bahang pemilihan kini semakin terasa. Hari ini buat pertama kali blog ini ingin turut berbicara tentang perkara itu. 

Seperti yang kita sedia maklum setakat ini lima calon Naib Presiden telah diketahui akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden. Tiga dari mereka adalah penyandang, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin dan Datuk Seri Shafie Afdal. Dua calon baru yang turut sama ingin merebut tempat adalah Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Seorang calon yang masih belum membuat keputusan dan sedang menimbang-nimbang desakan suara yang meminta beliau turut sama bertanding adalah Datuk Mukhriz Tun Mahathir. 

Saya tidak berniat untuk mengulas tentang calon-calon yang telah mengumumkan untuk bertanding atau menilai mereka samada layak bertanding atau tidak, menang atau kalah. Jauh sama sekali lagi untuk memburuk-burukkan orang yang kita tidak berkenan. Tidak ada gunanya kita nak memburuk-burukkan orang kita sendiri di mata umum. Kerana ini pertandingan dalam sebuah keluarga. 

Disini saya nak mengambil kesempatan untuk berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada rakan-rakan blogger yang sealiran. Pemilihan Umno kali ini menggunakan sistem pemilihan baru dan kali pertama ianya dipratikkan. Apabila benda baru sudah tentu ada kelemahan-kelemahan tertentu. Apabila ada kelemahan sudah tentu akan ada masalah yang timbul. Sudah tentu akan ada pertikaian, perbalahan dan sebagainya. Musuh di luar sana sedang memerhati untuk mengambil kesempatan. Jadi tidak perlulah kita nak beri bola tanggung kepada mereka. Di sini kita kena bijak mainkan peranan kita. Tidak perlu semua masalah atau pertikaian yang timbul untuk kita kongsikan di blog, FB, twitter atau instagram kita. Pandai-pandailah kita jaga masalah rumahtangga kita. Janganlah sesekali kita yang menjadi tukang bagi peluru kepada musuh untuk menembak kita balik. 

Satu perkara lagi yang saya nak pesan kepada diri saya sendiri dan juga kepada rakan-rakan media maya yang sealiran. Setiap diantara kita sudah tentu ada calon-calon yang menjadi pilihan hati kita. Angkat, puja dan pujilah sepuas hati calon yang menjadi pilihan hati kita. Ianya tidak menjadi kesalahan. Cuma janganlah sesekali dalam kita seronok mengangkat calon yang menjadi pilihan kita, kemudian kita mengutuk, menghina, mengeji atau membelasah lawannya. 

Berbalik kepada pertandingan merebut jawatan Naib Presiden.....

Lima calon telah diketahui dan seorang sedang menimbang. Saya disini ingin mencadangkan agar Datuk Seri Idris Jusoh turut menyertai pertandingan jawatan Naib Presiden. 

Mungkin ada yang bertanya kenapa Idris Jusoh menjadi pilihan saya ? 

Jawapan saya mudah, Idris Jusoh adalah antara pemimpin Umno yang banyak mencatat kejayaan gemilang, berwawasan , berani dan berfikiran kreatif. Orang seperti ini amat diperlukan dalam landskap politik tanahair dan dunia yang berubah 360 darjah sekarang. 

Saya tidak pernah mengenali Idris Jusoh secara peribadi atau bertentang empat mata dengannya. Dan beliau juga tidak pernah mengenali saya. Pernah sekali saya bertemunya dalam satu majlis di Genting Highland empat tahun lepas. Itu pun sekadar bersalam dan berlalu pergi. Walaupun tidak pernah mengenalinya secara peribadi tetapi kita boleh menilainya dari jauh. 


Antara faktor yang saya kagum dengan Idris Jusoh adalah projek Gelombang Biru bersiri yang digerakkannya untuk merampas kembali Terengganu daripada Pas antara tahun 1999-2004. Pas yang menang 28 kerusi daripada 32 kerusi Dun di Terengganu dalam PRU 1999 berjaya digulingkan Idris Jusoh dalam tempoh sepenggal sahaja. Dalam PRU 2004 BN pula yang dapat 28 kerusi. Lihat bagaimana kehebatan Idris Jusoh pusing daripada 28 Pas kepada 28 menjadi milik BN. Kerusi parlimen pula BN sapu bersih kelapan-lapannya hingga Haji Hadi pun tumbang di Marang. 

Waktu zaman itu saya ingat lagi bagaimana sakit hatinya orang Pas kepada Idris Jusoh apabila menukar nama beliau menjadi Iblis Jusoh. Gelombang Biru pula mereka tukar kepada Gelombang Syaitan. 

Bila sudah menang Trengganu, Idris dilantik sebagai MB. Dalam tempoh sepenggal sahaja Idris berjaya mengubah negeri Terengganu dengan pembangunan yang hebat-hebat serta perancangan yang teliti. 

PRU 2008 tsunami politik mula melanda BN di seluruh tanahair. Dalam keadaan tsunami politik yang begitu pun Idris yang mengepalai BN Terengganu masih mampu memberi kemenangan 2/3 kepada BN. Pas hanya berjaya tambah empat kerusi Dun dan satu kerusi parlimen. Bagi saya ianya yang satu kejayaan yang cukup baik di saat tsunami sedang melanda kerana Idris masih mampu bertahan dengan 2/3. 

Manakala di kawasan beliau sendiri di Besut ada lima kerusi. Parlimen Besut, Dun Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut. Tahun 1999 habis kelima-lima kerusi di atas disapu bersih oleh Pas. Tahun 2004, 2008 dan 2013 habis ke semuanya di sapu BN. Sejak 2004 hingga kini tiada satu kerusi pun yang BN kalah. 

PRK Kuala Besut dua bulan lepas juga menyaksikan BN menyapu bersih semua lapan PDM walaupun dua daripadanya dimenangi Pas dalam PRU 2013. 


Sebab itu daripada awal-awal lagi saya dah yakin BN akan menang di Kuala Besut. Saya yakin sebab saya tahu kehebatan Idris Jusoh berkerja. Saya juga berada di Kuala Besut semasa kempen PRK tempohari. Sepanjang seminggu berada di sana setiap hari saya berjumpa orang tempatan di sana untuk mengetahui tentang Idris Jusoh. Rata-rata orang yang ditemui semuanya memuja-muji beliau. Sehingga satu orang yang ditemui berkata "takdak tok tek hok ambo nak kata pasal Pak Yeh". Ianya membawa maksud tidak ada apa-apa yang boleh nak disentuh atau nak dipertikaikan pasal Idris Jusoh. Semuanya sempurna....Ada orang kampung yang memanggilnya Pak Yeh, ada yang panggil Datuk Derih dan ada yang panggil Haji Deris. 

Pada saya orang yang seperti ini harus diberi peluang dan ruang yang lebih besar dalam Umno peringkat Pusat. Beliau telah berjaya dan telah membuktikan kejayaannya apa salahnya jika beliau diberi peluang ? Hanya sekadar menjadi ahli MT ianya tidak boleh menyumbang lebih. 

Daripada risik-risik yang saya dengar mengatakan Datuk Seri Idris tidak berminat untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Beliau hanya ingin mengekalkan jawatan MT sahaja. Sekarang adalah masa terbaik untuk Datuk Idris memasuki gelanggang Naib Presiden. Di saat usianya masih boleh dikategorikan sebagai  gagah, fikiran yang masih bergeliga dan parti memerlukan pemimpin yang  berfikiran kreatif. Jika nak tunggu satu atau dua penggal lagi ianya agak terlambat. Ketika itu usia sudah tua dan mungkin sudah tidak berapa sihat. Apabila tidak sihat fikiran pun sudah tidak sepintar waktu gagah. 

Apa yang saya nyatakan di atas adalah pendapat saya. Mungkin ada rakan-rakan pembaca yang bersetuju dan mungkin ada yang tidak bersetuju. Kita sama-sama bincang dan kemukakan pandangan masing-masing. 

No comments:

Post a Comment