12 August 2013

Terengganu jadi hub haji



Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini buat pertama kalinya akan mengendalikan urusan kira-kira 1,200 jemaah haji dari Pantai Timur September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu, dijangkakan sebanyak enam penerbangan dijadual berlepas dari LTSM bermula 17 September depan.

"Segala urusan yang berkaitan seperti lapor diri dan sebagainya akan dibuat di kompleks THHT," ujarnya kepada media baru-baru ini.

Menurut beliau, THHT Terengganu yang bertaraf tiga bintang itu yang mula beroperasi bulan lalu dijangka dirasmikan sebelum pelepasan jemaah haji yang pertama di kompleks terbabit.

THHT yang dibangunkan dengan reka bentuk kontemporari bermotif Islam itu menjadi salah satu aset bagi negeri yang dijadikan hab haji dan juga pelancongan.

Ia turut direka khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai dewan ketibaan jemaah yang boleh menampung kira-kira 3,000 orang, tempat mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

Kewujudannya yang tersergam di atas tanah seluas 3.2 hektar itu dapat memberi kemudahan kepada para jemaah berkumpul setiap kali tiba musim haji khususnya dan memberi pilihan penyediaan hotel berkonsepkan pematuhan syariah kepada umat Islam amnya.

Jemaah haji dari Pantai Timur tidak akan lagi terpaksa bersesak-sesak di lapangan terbang bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk kesihatan dan keselamatan, dengan persekitaran lapangan terbang sesak dipenuhi ahli keluarga para jemaah.










No comments:

Post a Comment